BELAIT, 21 DIS – Kira-kira 300 kilogram (kg) sampah terutamanya botol-botol plastik dan bungkusan telah dikutip semasa kempen kebersihan yang dijalankan semasa Pantaiku Ceria di Simpang 95, Jalan Maulana, Kuala Belait, baru-baru ini.
Kempen berkenaan dianjurkan oleh Reliability Services and Solutions Sdn Bhd (RSSB) dengan diketuai oleh Pengarah Urusan, Elmey Julkeply dan Pengarah Operasi, Awang Mohamad Azlan bin Haji Tuah serta disertai oleh 40 kakitangan syarikat dan ahli keluarga.
Ia diadakan sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut dengan tujuan untuk mewujudkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan kakitangan dan bagi mengingatkan mereka mengenai kepentingan mengekalkan kebersihan pantai dan bebas daripada sampah.
Pengurus Kualiti, Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (QHSE) RSSB, August Anthony berkata, “Kami berasa amat sedih apabila jumlah sampah yang dikumpulkan di sepanjang 2 kilometer pesisir pantai adalah dianggap tinggi.
“Kempen kebersihan pantai ini setentunya bukan yang terakhir kerana RSSB komited untuk melindungi pantai supaya generasi masa depan dapat menikmati keindahan dan kebersihan persekitarannya dengan rasa selamat,” ujar beliau.



