Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Sebagai komitmen kepada kemampanan alam sekitar, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) berjaya menghoskan kempen kitar semula bersempena Hari Kitar Semula Global yang dikendalikan dengan kerjasama Daikyo Environmental Recycling Sdn Bhd di JPMC Loading Bay, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPMC, di sini, kempen yang dianjurkan oleh Jabatan Pentadbiran Am itu telah disertai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif JPMC, Bun Pei Ling bersama ahli-ahli pengurusan kanan dan kakitangan JPMC.
Kempen yang menekankan pentingnya tindakan kolektif dalam memacu usaha kemampanan itu bermatlamat mempromosikan usaha-usaha kitar semula dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kemampanan dengan tumpuan utama kepada kitar semula kertas selain menekankan bagaimana pengurangan sisa kertas dapat membantu mengawal pembasmian hutan, memulihara tenaga dan meminimumkan sisa tapak pelupusan.
Kakitangan JPMC menyumbang dengan membawa kertas-kertas dari pejabat, gudang dan rumah mereka untuk dikitar semula. Barangan yang dikumpul termasuk kadbod, majalah, buku, surat khabar serta produk-produk kertas yang lain.
Kempen itu berjaya mengumpul keseluruhan 1,024 kilogram sisa kertas di mana pencapaian itu menggariskan dedikasi JPMC kepada menyokong matlamat kemampanan Negara Brunei Darussalam, selaras dengan pendekatan senegara menjaga alam sekitar.
JPMC terus komited untuk mengintegrasikan amalan-amalan kemampanan ke dalam operasinya serta merangsang perubahan positif dalam masyarakat. Pusat perubatan berkenaan menggalakkan semua pihak bersama-sama menyertai usaha ke arah pengurusan alam sekitar dan menjadikan kitar semula sebahagian daripada kehidupan harian mereka.
