Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kemudahan pelawat Angkor Wat dibuka semula selepas kerja ubah suai

    KEMBOJA, 31 JAN – Pihak berkuasa warisan Korea Selatan hari ini mengumumkan bahawa sebahagian kemudahan pelawat di Angkor Wat, Kemboja telah dibuka semula selepas kerja pengubahsuaian menggunakan teknologi Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.

    Korea Selatan bekerjasama dengan Kemboja dalam usaha pemulihan dan pemeliharaan Angkor Wat sejak 2024, dengan menyediakan kepakaran teknikal dan sokongan bagi melindungi warisan budaya tapak bersejarah itu.

    Sebagai sebahagian daripada projek kerjasama itu, tangga baharu menuju ke Menara Bakan telah dipasang, bersama laluan pejalan kaki yang menghubungkan pelawat ke kolam selatan, menurut Perkhidmatan Warisan Korea dan agensinya, Agensi Warisan Korea.

    Kolam selatan, yang menjadi lokasi popular untuk melihat pemandangan panoramik kompleks kuil itu, sebelum ini berisiko mengalami hakisan akibat peningkatan jumlah pelawat, menimbulkan kebimbangan terhadap pemuliharaan jangka panjangnya.

    “Kami telah menaik taraf kemudahan pelawat menggunakan teknologi Korea Selatan. Ini dijangka meningkatkan keselamatan serta keselesaan pengunjung,” kata seorang pegawai Agensi Warisan Korea.

    Angkor Wat diiktiraf secara meluas sebagai mercu tanda arkeologi dan budaya paling penting di Kemboja.

    Wilayah Angkor, yang pernah menjadi ibu kota Empayar Khmer dari abad ke-9 hingga abad ke-15, menempatkan lebih 1,000 kuil, termasuk Angkor Wat, Bayon, Preah Khan dan Ta Prohm.

    Agensi Warisan Korea merancang untuk membaik pulih dan menaik taraf pelantar Bakan di Angkor Wat menjelang 2026, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Negara APSARA, agensi kerajaan Kemboja yang bertanggungjawab ke atas pemuliharaan dan pengurusan Angkor. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda