Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Kenal pasti tanda awal kanser payudara

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN 30 OKT – Dalam usaha bagi meningkatkan kesedaran kaum Hawa agar sentiasa menitikberatkan penjagaan dan pemeriksaan kesihatan dalaman dan luaran, Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong B telah mengungkayahkan Majlis Bulan Kesedaran Kanser Payudara di Dewan Mezzanine, Hotel Parkview, Jerudong, petang tadi.

    Majlis berkenaan telah disambut baik oleh lebih 100 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli biro wanita MPK berkenaan termasuklah beberapa penduduk wanita di sekitar Mukim Sengkurong, Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong dan Muslimah Masjlid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong.

    Hadir sama ialah Pengerusi Biro Wanita MPK Sengkurong B, Hajah Rukiah binti Haji Mohammad Yassin; dan Pegawai Jururawat, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Hajah Noor Kartini binti Haji Abdul Rahman.

    Hajah Noor Kartini semasa menyampaikan maklumat kesihatan, motivasi dan pencerahan antara lain menyentuh mengenai pengetahuan dan pemahaman mengenai kanser payudara dan tanda-tanda awal terjadinya kanser tersebut di mana dengan mengenal pasti tanda-tanda awal berkemungkinan besar ia dapat dikawal dan tidak merebak.

    Majlis turut menyaksikan demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara dan pameran mengenai kanser payudara. Beberapa buah perniagaan makanan sihat turut terlibat dalam sama-sama memeriahkan acara tersebut.

    Dengan adanya majlis sedemikian, ia diharap mampu memperkasa kaum wanita secara umumnya dengan pengetahuan dan kemahiran tentang cara hidup sihat, pencegahan sekunder melalui ujian saringan dan pengesanan awal penting sebagai langkah bagi rawatan awal kanser payudara.

    Selain itu, ia juga mewujudkan sokongan moral bagi mereka yang mengidap kanser payudara untuk terus menjalani rawatan semasa pandemik COVID yang masih berleluasa kini.

    Hajah Noor Kartini semasa menyampaikan maklumat kesihatan pada majlis yang berlangsung di Dewan Mezzanine, Hotel Parkview, Jerudong, kelmarin.
    Antara yang hadir pada majlis kelmarin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...