Saturday, February 8, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenali guqin dari pakar seni warisan

    TIANJIN – Kesabaran adalah salah satu faktor utama dalam pembuatan guqin, atau gambus Cina tujuh tali. Menurut Sui Yiyang, 37, yang mengabdikan diri dalam pembuatan guqin selama lebih sedekad, berkata bahawa ia memerlukan kira-kira dua tahun untuk menyiapkan satu guqin.

    Di studionya di Tianjin, pelbagai jenis dan ukuran perkakas tergantung di dinding. Kepingan bingkai kayu guqin terletak di atas mejanya.

    Badan guqin terdiri daripada dua bahagian, bahagian bawah rata dan bahagian atas melengkung. Badan alat tersebut dilapisi dengan lapisan tipis lakuer yang dicampur dengan serbuk tanduk rusa.

    Proses mengecat mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan. Tali guqin secara tradisinya diperbuat daripada sutera yang digulung, hari ini, ia sering kali menggunakan tali khas yang diperbuat daripada keluli dan nilon.

    Sui belajar bermain gitar, drum dan bass semasa remaja. Dia telah diperkenalkan dengan guqin semasa lawatan bersama ayahnya. Semasa perjalanan tujuh jam dari Beijing ke wilayah autonomi Inner Mongolia, dia mendengar rakaman guqin di dalam kereta ayahnya dan tertarik dengannya.

    Sui Yiyang bekerja di studionya di Tianjin. – Gambar oleh ANN/China Daily

    “Bunyi guqin yang menarik dan perlahan sangat berbeza daripada alat muzik Barat yang saya pelajari,” katanya.

    Selepas kembali ke Beijing, dia mula belajar bermain alat itu. Kemudian, dia belajar cara membuat guqin daripada seorang pakar pembuatan guqin yang berpangkalan di Beijing, Han Tingyao, kini 85 tahun.

    Sui mengembara ke seluruh negara bahkan ke luar negara untuk membeli bahan dan alatan berkualiti tinggi.

    Contohnya, jenis dan kualiti kayu yang digunakan adalah penting, jadi dia kerap pergi ke wilayah Fujian dan Jiangxi untuk mencari barangan yang sesuai. Dia mendapatkan lakuer yang mentah, yang digunakan untuk melindungi guqin daripada hakisan, dari satu tempat Rentoushan, sebuah kampung di perbandaran Maoba, bandar Lichuan, wilayah Hubei.

    Pengalaman bertahun-tahun membuat guqin telah menghadiahkan Sui dengan keupayaan untuk membuat alat muzik yang berkualiti tinggi.

    “Setiap guqin mempunyai teksturnya yang unik, yang hanya boleh awda kenali selepas awda merasainya dengan tangan awda sendiri,” katanya. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda