Tuesday, April 22, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenali lebih dekat budaya negara

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Seramai 10 orang belia Republik Korea telah diperkenalkan kepada keluarga angkat mereka pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di Kiulap, hari ini.

    Program Inap Desa Keluarga Angkat berkenaan merupakan salah satu aktiviti dalam Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea 2019 yang bertujuan untuk memperkenalkan dan memperlihatkan lebih dekat lagi budaya negara Brunei.

    Hadir menyaksikan penyerahan peserta kepada keluarga angkat ialah Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Mariam binti Ulat.

    Pada majlis itu, peserta program diperkenalkan kepada empat buah keluarga angkat dan berpeluang untuk tinggal di rumah keluarga angkat selama dua hari satu malam serta mengenali budaya, tradisi dan kehidupan orang Brunei, merasa makanan tempatan dan sebagainya. Salah seorang wakil keluarga angkat yang ditemui, Awang Nurhisyam Al-Mu’iz bin Abdul Rahman dari Kampung Mata-Mata Gadong, memberitahu bahawa ini merupakan kali yang pertama mereka menjadi keluarga angkat kepada belia dari Republik Korea.

    Beliau sudah mula aktif sebagai keluarga angkat kepada beberapa program bermula pada 2016. “Untuk program keluarga angkat bagi belia Republik Korea ini, beberapa aktiviti telah diaturkan walaupun ia satu masa yang singkat tapi kami cuba untuk memberi pengalaman dan memperlihatkan budaya Brunei kepada mereka untuk dikongsi bersama belia Korea yang lain setelah balik ke negara mereka,” tambahnya.

    Hubungan persahabatan dan persefahaman Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea semakin kukuh dan terjalin erat dengan adanya Program Pertukaran Belia Dua Hala Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea.

    Program antara lain bertujuan untuk menjalin persahabatan dan persefahaman muhibah dalam kalangan belia kedua-dua buah negara dalam suasana harmoni dan setia kawan melalui interaksi yang sihat selain dapat berkongsi dan bertukar pandangan dan pengalaman berguna dari sudut sosioekonomi, sosiopolitik, adat resam dan kebudayaan.

    Rombongan belia Republik Korea yang diketuai oleh Pegawai dari Ministry of Gender, Equality and Family, Republik Korea, Junhong Cho itu akan berada di negara ini sehingga 28 Ogos.

    Timbalan Pengarah Belia dan Sukan bergambar ramai bersama belia Republik Korea dan keluarga angkat mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda