Saya ingin menyuarakan satu perkara di mana bagi saya amat penting khususnya bagi menjalani kehidupan sehari-hari dengan aman dan tenang.
Apa yang kita ketahui, air adalah sumber utama yang amat penting bagi manusia dan tanpa air manusia tidak akan dapat hidup untuk jangka waktu yang lama. Justeru, air sangat penting dalam kehidupan kita sehari-hari.
Sama ada ia digunakan untuk memasak, mandi, cuci baju dan sebagainya, air adalah keperluan utama yang asasi berbanding bekalan elektrik. Ada kalanya, orang ramai akan berpendapat, mereka lebih rela kehilangan bekalan tenaga berbanding kehilangan air. Begitulah tingginya nilai air bagi kehidupan manusia dan juga makhluk di dunia ini.
Oleh itu, apa yang cuba saya tekankan di sini adalah mengenai keperluan air di salah sebuah perkampungan terbesar di negara ini yang sering berdepan dengan penutupan air atau tekanan air yang rendah.
Saya sering tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang berlaku kepada kemudahan air di kawasan ini, kenapa sering berlaku penutupan air di kampung ini sehingga ada kalanya menyukarkan penduduk untuk melakukan rutin atau aktiviti harian.
Selain itu juga, ada kalanya, tekanan air sangat rendah malah ada kalanya langsung tidak keluar. Oleh itu, saya menyeru kepada pihak yang tertentu untuk memastikan sumber air di kampung ini mencukupi kerana tanpa air, amat sukar bagi kami untuk menjalani kehidupan sehari-hari.
Ataupun pihak tertentu menyediakan tangki-tangki dengan banyak bagi penduduk kampung mengambil air dan memaklumkan dengan lebih awal kepada penduduk tentang keadaan sumber air di kampung ini. – Penduduk mencintai air