MONT DE MARSAN – Menyedari akan risiko dron yang telah disalah gunakan untuk mengintip sekali gus melakukan serangan di Perancis sebelum ini, tentera udara negara itu mula bertindak untuk mempersiapkan langkah terbaik bagi menghadapi masalah tersebut.
Di Mont-de-Marsan sebuah kawasan di barat daya Perancis sedang giat menjalankan sesi latihan pada beberapa helang emas yang mahir untuk menangani sebarang objek yang mencurigai terbang di kawasan udara Perancis.
Sesi latihan dimulakan dengan pelancaran dron daripada jet pejuang Rafale di landasan pangkalan udara, kira-kira 130 kilometer di selatan Bordeaux.
Kemudian, burung helang terlatih yang memiliki penglihatan tajam dari menara kawalan pada jarak 200 meter mula bersiap sedia untuk menyerang tatkala menyedari akan kehadiran objek terbang mencurigakan yang merupakan dron itu.
Kira-kira dalam tempoh 20 saat burung pemburu itu menyerang dron itu, kelihatan dron yang rosak itu jatuh ke tanah sekali gus menandakan bahawa misi latihan yang dijalankan berjaya ditangani.


Spesies burung helang emas itu merupakan salah satu daripada empat spesies helang pemburu terkemuka di samping Athos, Porthos dan Aramis yang pernah ditampilkan dalam novel Perancis berjudul The Three Musketeers karya Alexandre Dumas pada tahun 2016.
Mont-de-Marsan adalah salah satu daripada lima pangkalan udara di Perancis yang mula melatih kemahiran istimewa pada burung helang.
Pada kebiasaanya, spesies burung pemburu seperti helang dan goshawks digunakan untuk menghalau burung-burung yang berkeliaran di landasan kapal terbang bagi mengelakkan risiko kemalangan sewaktu berlepas dan mendarat.
Namun, spesies helang pemburu ini mula dilatih dalam perihal keselamatan negara berikutan daripada peristiwa serangan yang berlaku pada Januari 2015.
“Hasil latihan kemahiran terhadap burung helang yang telah dijalankan menunjukkan perkembangan yang baik,” jelas Komander Christophe yang mengetuai skuad keselamatan udara di mana turut bertanggungjawab melatih kemahiran burung pemangsa tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa perkembangan kemahiran burung tersebut jelas bergerak lebih pantas berbanding apa yang telah dijangkakan.
Pasukan polis di Belanda merupakan yang pertama menyuarakan idea berhubung penggunaan spesies burung pemburu untuk menangani dan menghapuskan sebarang objek terbang yang mencurigakan seperti dron yang terbang di udara pada akhir tahun 2015.
Kemudian, langkah tersebut juga mula diikuti oleh pasukan tentera Perancis pada tahun lalu dengan melatih spesies helang emas yang merupakan haiwan pemburu semula jadi, memiliki paruh tajam, bermata kuning dan sayap yang lebar mencecah sehingga ukuran 2.2 meter.
Seperti mana spesies haiwan pemburu yang lain, helang emas juga memiliki penglihatan yang sangat tajam dan berupaya untuk mengesan sasaran hingga pada jarak dua kilometer.
Dengan berat yang mencapai di antara tiga ke lima kilogram, setentunya dengan mudah ia mampu untuk menepis sebarang objek terbang seperti dron yang mungkin memiliki niat jahat.
Helang memang merupakan spesies burung yang pantas iaitu dengan tahap kepantasan yang mencecah sehingga 80 kilometer sejam tatkala ia menuju ke arah mangsa sasarannya.
Proses latihan setiap helang emas telah dimulakan seawal usianya tiga minggu menetas daripada telurnya di mana burung tersebut harus memburu sasarannya yang berupa makanannya yang telah diletakkan di dron yang telah dilancarkan.
Ternyata teknik latihan tersebut telah berjaya untuk menggilap kemahiran pemburuan tersebut ke arah objek yang terbang seperti dron dengan lebih pantas.

Justeru, tatkala kelibat dron kelihatan terbang di udara secara tidak langsung akan menghidupkan naluri pemburuan spesies burung tersebut dan selonggok daging akan dihadiahkan kepada spesies helang emas yang berjaya melaksanakan misi tersebut.
Helang emas tersebut akan mula terbang secara lurus dan akan melakukan teknik penerbangan menjunam dari jarak yang tinggi menuju kepada sasaran.
Laporan kemajuan pertama berhubung mengenai latihan burung helang emas ini dijangka bakal diterima pada bulan Jun namun hasil latihan selama kurang daripada tempoh 24 bulan ini telah memperlihatkan perkembangan yang cukup positif.
“Kos latihan ini ternya jauh lebih rendah berbanding penggunaan sebarang mesin,” jelas Komander Laurent yang menjelaskan bahawa antara waktu strategik untuk menggunakan helang emas ini adalah seperti pada waktu acara persidangan antarabangsa dan perlawanan bola sepak ataupun di lapangan terbang.
Bagi mengelakkan sebarang kecederaan pada badan burung helang emas tersebut sewaktu memburu, pihak tentera telah mereka sejenis sarung kulit dan Kevlar iaitu bahan anti letupan yang dipercayai dapat melindungi burung pemburu ketika berkhidmat.
“Saya sangat sayangkan burung helang emas ini dan tidak ingin melihat ia terkorban sewaktu menjalankan misi.” Jelas Machoukow.
Beliau turut memberi amaran agar tidak memberikan sebarang misi yang mustahil untuk digalas oleh burung helang emas itu seperti memburu dron bersaiz besar yang boleh memberikan risiko buruk kepada burung tersebut.
Komander Laurent juga bersetuju bahawa khidmat yang diberikan oleh burung helang emas itu merupakan sejenis bantuan terbaru dalam bidang ketenteraan khususnya terhadap ancaman dron namun setentunya ia memiliki had yang tertentu.
Mont-de-Marsan dijangka bakal memiliki empat ekor pemburu yang terdiri daripada burung helang emas menjelang musim panas ini. – AFP