Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepelbagaian cita rasa kembayau tambat selera

    Di sana-sini, tidak kira di kawasan kampung mahu pun bandar, tanah air kita seperti negara-negara jiran yang lain tidak terkecuali turut menikmati buah-buahan bermusim.

    Musim buah-buahan tempatan dilihat kembali memeriahkan suasana tamu, gerai dan pasar malam serta beberapa khemah jualan di tepi-tepi jalan raya.

    Apabila diajukan kuiz seketika yang menyatakan mengenai sebiji buah berwarna hitam putih atau sedikit kekuningan isinya selepas dikikis dan sedia untuk didih dengan air panas atau dimasak pelbagai cara, pasti terlintas di benak minda kita akan buah kembayau.

    Dikenali juga dengan nama saintifiknya Canarium Odontophyllum, buah sebesar ibu jari yang rasanya yang masam, manis dan berlemak ini sentiasa menjadi buruan penggemarnya, namun ia juga dipanggil sebagai dabai atau daba di Kepulauan Borneo.

    Bagi masyarakat luar pula, ia dikenali sebagai Zaitun Sarawak, di mana ia mempunyai banyak cabang dan tumbuh subur di kawasan berbukit. Hakikatnya, pokok kembayau yang hanya berbuah secara bermusim mampu mengeluarkan di antara 30 hingga 80 kilogram buah atau tertakluk kepada tempoh matangnya dan boleh ditanam dengan biji benih.

    Buah kembayau dikenali juga dengan nama saintifiknya Canarium Odontophyllum, buah sebesar ibu jari dengan rasanya yang berlemak ini sentiasa menjadi buruan penggemarnya, namun ia juga dipanggil sebagai dabai atau daba di Kepulauan Borneo. – Agensi

    Variasi olahan kembayau boleh dinikmati

    Buah kembayau bagaikan mampu ‘mewarnai’ cita rasa bagi seseorang iaitu dari segi pelbagai sentuhan yang dapat diolah padanya.

    Salah satu penyediaannya yang begitu mudah iaitu dengan hanya merendamnya guna air panas dalam masa kira-kira 10 ke 15 minit, sesudah isinya lembut, toskan airnya dan letakkan sedikit garam ataupun gula, mengikut cita rasa masing-masing sebagai penambah perisa dan bolehlah dimakan.

    Menariknya juga, terdapat juga mereka yang mempelbagaikan sentuhan buah kembayau ini sehingga menjadikannya menu Nasi Goreng Kembayau. Sesetengah penggemarnya menikmatinya dengan bercicahkan kicap manis dan juga nasi berserta lauk-pauk lain.

    Sambal kembayau

    Namun, ada juga yang menyediakannya dengan memasaknya sekali lagi dan menumis untuk dijadikan sambal nasi. Apabila ingin mencubanya, penyediaannya tidaklah terlalu rumit malah begitu senang asalkan ‘bekarih berusah’ ke dapur.

    Dengan menyediakan dua gayung atau setengah kilo buah kembayau bersama bahan-bahan tertentu iaitu lima ulas bawang Bombay atau bawang merah, dua ulas bawang putih dan halia sebesar ibu jari. Beberapa tangkai cili kering juga diperlukan iaitu dengan memastikan cili direndam di dalam air sehingga kembang terlebih dahulu dan masukan lada padi mengikut cita rasa masing-masing, pusu (bilis), sedikit belacan, sos tiram, garam dan ajinomoto, gula pasir atau serbuk stok ayam dan minyak untuk menggoreng.

    Buah kembayau perlu direndam terlebih dahulu menggunakan air panas. Manakala semua bahan-bahan yang lainnya dihiris atau ditumbuk halus. Cili kering pula perlu dikisar.

    Kemudian panaskan minyak, goreng pusu sehingga garing, toskan dan ketepikan seketika.

    Seterusnya, tumis bahan yang dihiris atau ditumbuk tadi sehingga naik bau dan masak.

    Langkah seterusnya ialah memasukkan sos tiram, stok ayam, garam, perisa atau gula mengikut cita rasa masing-masing. Kemudian dimasukkan pusu yang digoreng dan kembayau dan gaul dengan menggunakan api yang sederhana sambil menanti sambal itu menyerap sebati dengan kembayau.

    Penyediaan hidangan sambal kembayau ini serupa dengan teknik membuat sambal nasi lemak atau nasi katok namun hanya perlu mencampurkannya ke dalam sambal yang dimasak tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda