Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kepelbagaian program menceriakan suasana Bandar Seri Begawan

    Oleh Normazlina M.D

    Gambar oleh Muiz Matdani & Normazlina M.D.

     

    WALAUPUN Negara Brunei Darussalam mempunyai keluasan yang kecil, namun kita seharusnya merasa bangga kerana negara kita mengutamakan pembangunan mesra alam yang berkonsepkan ‘Bandar dalam Taman’ dan seterusnya diisytiharkan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN 2016-2017, baru-baru ini.

    ‘Bandar dalam Taman’

    Konsep mengutamakan pembangunan negara yang mesra alam iaitu konsep ‘Bandar dalam Taman’ telah menjadi satu unsur penting dalam pembangunan Negara.

    Faedah utama yang dibawa oleh konsep ‘bandar dalam taman’ ini melibatkan keupayaan negara dalam menjaga keseimbangan alam dan ekosistem dengan efektif.

    Situasi ini jelas dapat menjamin kewujudan kehijauan alam sekitar untuk satu tempoh yang lama buat sesuatu kawasan yang dibangunkan oleh kerajaan itu sendiri.

    Gambar kenangan semasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bagi mengikuti acara riadah berbasikal.
    Gambar kenangan semasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien bagi mengikuti acara riadah berbasikal.

    Selain itu, pembangunan yang berteraskan konsep ini berupaya untuk mengurangkan pencemaran alam dengan begitu mudah. Semua pembangunan terutama yang melibatkan sistem pengangkutan awam mengutamakan istilah mesra alam itu.

    Di samping itu, pelaksanaan konsep ‘bandar dalam taman’ ini juga mampu menarik lebih banyak pelancong terutama pelancong asing untuk melawat ke Negara Brunei Darussalam.

    Untuk menjadikan Bandar Seri Begawan sebagai ‘bandar dalam taman’, ia juga merupakan salah satu matlamat strategik Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan bagi tahun 2005 hingga tahun 2025.

    Bandar Kebudayaan ASEAN

    Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan satu lagi detik bersejarah apabila Bandar Seri Begawan telah pun diisytiharkan sebagai Bandar raya Kebudayaan ASEAN.

    Perkara ini telahpun dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa berucap di majlis Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN bagi Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) ke-7 yang diadakan pada 24 Ogos pada tahun lalu.

    Menurut Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (petikan dari Media Permata, pada 25 Ogos 2016), pengisytiharan Bandar Seri Begawan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN merupakan satu peluang bagi negara menunjukkan amalan gaya hidup yang penuh dengan tradisi dan warisan keBruneian ke mata dunia.

    Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun iaitu tahun 2016 hingga 2017 menjadi Bandar Kebudayaan ASEAN, Bandar Seri Begawan akan menyaksikan pelbagai acara dan aktiviti kebudayaan, dan Pesta Kesenian ASEAN berkenaan dengan menandakan permulaan bagi acara-acara lain yang akan diadakan.

    Oleh itu, untuk mempamerkan keindahan dan kebudayaan sesebuah bandar itu, ia bukanlah hanya terletak kepada bangunan-bangunan dan tempat-tempat yang ada di dalamnya, tetapi ia sebenarnya dihidupkan oleh penghuni bandar itu sendiri.

    Aktiviti-aktiviti berkonsepkan ‘Bandar dalam Taman’

    Pelbagai aktiviti menarik telah,sedang dan akan diungkayahkan sepanjang Rancangan Kemajuan Negara 10 (RKN10) dalam memastikan Brunei mencapai matlamat Wawasan 2035, antaranya adalah mempunyai kualiti hidup yang tinggi melalui amalan cara hidup yang sihat.

    Matlamat tersebut juga menjurus kepada konsep negara untuk menjadikan ‘Bandar dalam Taman’ dan seterusnya menghidupkan bandar dengan penuh kebudayaannya.

    Oleh itu, bagi mencapai visi tersebut, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui beberapa kementerian dan agensi-agensi serta pihak yang berkenaan telah mengambil inisiatif seperti mengadakan ‘hari tanpa kereta’ iaitu mengadakan program ‘Bandarku Ceria’ pada setiap hari Ahad bermula 2 Oktober 2016.

    Pelbagai aktiviti kecerdasan yang mendukung kepada kesihatan turut dipraktikkan dalam Program Bandarku Ceria bagi menzahirkan masyarakat yang aktif, sihat dan cerdas.
    Pelbagai aktiviti kecerdasan yang mendukung kepada kesihatan turut dipraktikkan dalam Program Bandarku Ceria bagi menzahirkan masyarakat yang aktif, sihat dan cerdas.
    Antara aktiviti yang dijalankan semasa Bandarku Ceria yang dijalankan di sekitar Bandar Seri Begawan.
    Antara aktiviti yang dijalankan semasa Bandarku Ceria yang dijalankan di sekitar Bandar Seri Begawan.

    Bandarku Ceria

    Program Bandarku Ceria terus mendapat sambutan daripada orang ramai yang menyambut baik usaha kerajaan yang memberikan keutamaan tinggi terhadap kesejahteraan rakyat dan penduduk negara untuk memastikan kawasan Bandar Seri Begawan menjadi sebuah bandar yang dinamik, meriah dan unggul.

    Bermula dari jam 6 pagi hingga 10 pagi, beberapa batang jalan raya di kawasan Bandar Seri Begawan telah pun ditutup untuk memberikan laluan jalan-jalan berkenaan untuk digunakan oleh pejalan kaki dan mereka yang ingin untuk berbasikal sahaja serta mengadakan kegiatan riadah sihat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.

    Semasa program itu dijalankan, pelbagai kegiatan diadakan oleh agensi-agensi kerajaan bagi menyahut seruan inisiatif untuk mengukuhkan institusi kekeluargaan, membuka peluang kepada peniaga kecil-kecilan dan sederhana (PKS), mengurangkan perlepasan karbon dioksida dan menggalakkan cara hidup sihat.

    Program Bandarku Ceria ini merupakan hari tanpa kereta yang diadakan pada setiap hari Ahad di mana jalan raya ditutup bagi lalu lintas sehingga jam 10 pagi dan jalan-jalan yang ditutup kira-kira selama empat jam itu adalah Jalan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Stoney, Jalan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jalan Mc Arthur, Jalan James Pearce, Jalan Pemancha, Jalan Elizabeth II dan Jalan Pretty.

    Melalui program itu, beberapa agensi telah terlibat sama dalam mengadakan beberapa aktiviti kegiatan kemasyarakatan dan kesukanan sesuai dengan visi dan matlamat kerajaan.

    Orang ramai yang berkunjung bolehlah mengambil kesempatan untuk berjalan kaki, berjoging mahupun beriadah berbasikal di kawasan Bandar Seri Begawan.

    Program tersebut juga memberi peluang kepada para penduduk untuk memilih Bandar Seri Begawan sebagai tempat orang ramai beriadah bersama keluarga mahupun bersama kawan-kawan dan agensi-agensi yang terlibat di samping dapat menghidupkan kembali kemeriahan Bandar Seri Begawan.

    Selain itu, peniaga-peniaga kecil dan sederhana (PKS) turut mengambil peluang untuk berjaja di kawasan sekitar bandar dalam sama-sama memeriahkan lagi suasana Bandar Seri Begawan.

    Untuk menjadikan sebuah bandar yang berkonsepkan ‘Bandar dalam Taman’ dan sete-rusnya menjadikan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN, beberapa aktiviti atau kegiatan telah pun dan sedang dijalankan di sekitar kawasan Bandar Seri Begawan.

    Dengan adanya aktiviti seperti Program ‘Bandarku Ceria’ ini, ia akan dapat meningkatkan prestasi Bandar Seri Begawan sebagai bandar yang meriah dan merupakan satu peluang bagi negara menunjukkan amalan gaya hidup yang penuh dengan tradisi dan warisan ke Bruneian ke mata dunia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda