BANGKOK, 27 NOV – Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru dilantik tepat pada masanya kerana negara memerlukan pemimpin yang intelek dan berwibawa, kata wartawan veteran Thailand yang mengulas mengenai hal ehwal serantau.
Kavi Chongkittavorn berkata bermula sekarang, Malaysia bakal dilihat dan diperkatakan secara lebih positif.
“Tetapi laluan berliku berada di hadapan Anwar…Buat kali pertama, Malaysia mempunyai pemimpin yang mempunyai pandangan sejagat dan terkenal dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
“Diharapkan kepimpinan Anwar akan mengukuhkan lagi profil Asia. Lagipun, beliau pemimpin pertama yang bersuara mengenai Renaissance Asia walaupun ia sudah dua dekad berlalu,” tulisnya dalam satu ruang pendapat yang diterbitkan dalam laman sesawang berita Inggeris dalam talian Perkhidmatan Penyiaran Awam Thai (PBS Thai).
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar, 75, sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas Seri Paduka mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara bagi menamatkan kemelut susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November yang menyaksikan parlimen digantung.
Kavi berkata pelantikan Anwar sebagai perdana menteri seharusnya menjadi ‘magnet’ Malaysia untuk menjana imej positif bagi meningkatkan keyakinan perniagaan di negara ini.
“Selama beberapa dekad dengan penyertaan berterusan Anwar dalam isu-isu transnasional dan global yang berkaitan hak sivil dan politik, memerangi rasuah, hubungan Timur-Barat dan pelbagai hala, beliau sepatutnya menjadi magnet negara dalam menjana imej Malaysia yang lebih positif yang akan meningkatkan pelaburan dan keyakinan perniagaan.
“Barat akan gembira dengan kerajaan baharu di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” kata beliau.
Kavi berkata tanda-tanda positif sudah muncul selepas Anwar dinamakan sebagai perdana menteri memandangkan indeks saham Malaysia melantun dan Ringgit melonjak.
“Ini menunjukkan keyakinan tinggi terhadap kerajaan…Itu yang Malaysia perlukan sekarang,” katanya. – Bernama