Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kepulangan delegasi APICTA diraikan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Para pemenang dan delegasi Brunei yang mengharumkan nama negara bagi Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) ke-21 di Islamabad, Republik Islam Pakistan, baru-baru ini, telah disambut kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Berakas.

    Hadir di LTAB petang ini ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

    Kepulangan delegasi diiringi dengan bacaan Doa Kesyukuran yang diketuai oleh Imam Surau LTAB, Haji Mohamad Aduka bin Haji Abdul.

    Pada anugerah tersebut, delegasi negara berjaya memperolehi dua anugerah pemenang dan dua anugerah merit.

    Para penerima anugerah dari Kementerian Kesihatan dengan produk BruHealth telah memenangi Anugerah Pemenang bagi Inclusions & Community Services – Health and Wellbeing dan Anugerah Merit bagi Public Sector – Government & Citizen Services.

    Kepulangan delegasi Brunei yang mengharumkan nama negara diraikan di LTAB.
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi hadir di LTAB bagi mengalu-alukan kepulangan delegasi.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyampaikan jambangan bunga kepada delegasi dengan disaksikan Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
    Sesi bergambar ramai dalam kalangan Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan dan swasta bersama para pemenang.

    Manakala, Rumine Corporation dengan produk Techsim memenangi Anugerah Pemenang bagi Inclusions & Community Services – Sustainability and Environment/Education; dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) dengan produk Sign Speak telah memenangi Anugerah Merit bagi Student: Senior Systems.

    Para hakim amat kagum dengan rangka kerja BruHealth yang berwawasan dan fungsi sistem yang tidak mempunyai produk yang terdahulu atau serupa sebagai penanda aras.

    Manakala itu, Techsim merupakan simulasi latihan secara maya bagi perkhidmatan dan penyelenggaraan unit penyaman udara dan berfungsi sebagai alat untuk meningkatkan kecekapan dalam mempraktikkan proses pemasangan dan penyelenggaraan.

    Ia adalah satu penyelesaian inovatif yang mengintegrasikan augmented reality (AR) dan virtual reality (VR) ke dalam proses-proses industri.

    Aplikasi Sign Speak pula membolehkan komunikasi dua hala antara orang yang mempunyai kurang upaya pendengaran dan seluruh masyarakat. Aplikasi tersebut menggunakan bahasa isyarat Amerika dan Brunei.

    Sebanyak 165 pasukan dari 16 ahli ekonomi dan 210 penyertaan bertanding dalam 25 kategori Anugerah APICTA yang diadakan dari 7 hingga 11 Disember.

    Brunei Darussalam diwakili oleh empat pasukan yang terdiri daripada pemenang, naib juara dan peserta Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2022.

    Kementerian Kesihatan dan Rumine Corporation telah bertanding secara fizikal, manakala Sekolah Menengah Berakas dengan produk MidoriSAWI dan SUAMPRIPAHS bertanding secara maya dari Brunei Darussalam.

    Turut hadir di LTAB ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku Pengerusi Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi (AITI); setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Kementerian Kesihatan, para pegawai kanan MTIC, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Kesihatan, AITI serta ahli-ahli InfoCom Federation Brunei (IFB).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...