Saturday, February 22, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keputusan Peperiksaan SSRU dikeluarkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian lslam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei telah mengeluarkan keputusan peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSRU) bagi tahun 1445H/2024M.

    Seramai 5,024 calon telah menduduki peperiksaan berkenaan dan daripada jumlah ini, seramai 4,634 orang adalah calon sekolah dan 390 orang adalah calon bukan sekolah dan.

    Daripada kumpulan calon sekolah, hanya 3,167 orang calon telah lulus dengan peratus pencapaian sebanyak 68.34 peratus. Daripada jumlah berkenaan, seramai 2,806 orang calon (60.55 peratus) memperoleh pangkat 1, seramai 326 orang calon (7.03 peratus) memperoleh pangkat 2 dan 35 orang calon (0.76 peratus) memperoleh pangkat 3.

    Sementara itu, 28 daripada 133 buah sekolah atau pusat peperiksaan yang mendaftar bagi peperiksaan ini iaitu 21.05 peratus telah berjaya memperoleh pencapaian 100 peratus lulus.

    Guru-guru besar sekolah ugama boleh mengambil pernyataan keputusan calon bagi sekolah masing-masing esok, Sabtu, 23 Syaaban 1446H bersamaan 22 Februari di pejabat Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam bertempat di lantai bawah, bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis pada waktu pejabat dibuka. Calon-calon persendirian juga boleh mendapatkan slip pernyataan keputusan mereka di pejabat yang sama.

    Manakala calon-calon sekolah boleh mendapatkan slip pernyataan keputusan mereka di sekolah ugama masing-masing.

    Bagi calon-calon peperiksaan, ibu bapa atau penjaga yang ingin mendaftar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), boleh menggunakan perkhidmatan SMS menggunakan telefon bimbit dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN (jarak) NOMBOR INDEKS CALON dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST atau 38666 bagi pelanggan Progresif Sdn Bhd atau 39966 bagi pelanggan Imagine. Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS tanpa sebarang kos kepada pelanggan.

    Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang mendaftar dengan dikenakan caj bayaran $1.00 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima. Oleh itu, para pelanggan diingatkan supaya mempunyai kredit yang mencukupi.

    Gambar Pixabay
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda