Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kerajaan perlu libatkan sektor swasta dalam transformasi digital

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 FEB – Komuniti perniagaan tempatan digalakkan untuk memanfaatkan pendigitalan dalam aktiviti perniagaan kerana kerajaan akan terus melabur dalam infrastruktur bagi meningkatkan jangkauan dan perkhidmatan telekomunikasi jalur lebar ke arah mencapai visi negara pintar menerusi transformasi digital.

    Negara juga sedang melabur dalam prasarana seperti pengenalan digital dan sistem pembayaran digital kebangsaan yang sedang diusahakan bersama-sama institusi kewangan tempatan.

    Ke arah mencapai usaha berkenaan, ia akan memerlukan pihak kerajaan untuk melibatkan sektor swasta dari segi bentuk bantuan kerajaan yang mereka perlukan.

    Perkara itu dikongsi oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid semasa sesi panel perbincangan mengenai Brunei Economy in 2023 di Persidangan Perniagaan Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 2 Februari lalu.

    Panel perbincangan itu mengetengahkan ahli-ahli panel termasuk Dato Seri Paduka Haji Khairuddin; Setiausaha Agung, Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik, Eduardo Pedrosa; Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat LVK, dan Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei, Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii; serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib dengan moderator perbincangan, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global), Universiti Brunei Darussalam, Dr Joyce Teo Siew Yean.

    Eduardo Pedrosa ketika menyampaikan pembentangannya.
    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bersama barisan ahli-ahli panel lain bagi Brunei Economy in 2023 yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 2 Februari lalu.

    Antara jemputan yang hadir ke majlis tersebut.

    Dalam pembentangannya lagi, Dato Seri Paduka Haji Khairuddin mengongsi bahawa ekonomi negara menyaksikan lebih banyak kepelbagaian dan menggalakkan lagi komuniti perniagaan tempatan untuk menerima pakai pendigitalan.

    Beliau juga mengambil maklum bahawa pada masa lalu, bahagian majoriti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara adalah dalam sektor minyak dan gas tetapi baru-baru ini, bahagian itu semakin menurun di mana ia telah menyaksikan majoritinya disumbangkan oleh sektor bukan minyak dan gas.

    Beliau menerangkan bahawa sektor-sektor bukan minyak dan gas yang telah mencatatkan peningkatan adalah sektor perikanan, hiliran minyak dan gas melalui pengeluaran produk-produk petroleum dan kimia, perdagangan runcit dan borong, pengangkutan udara serta juga produk-produk buatan yang lain.

    “Walaupun kita optimistik dalam bergerak ke hadapan, kita masih lagi melabur dalam infrastruktur minyak dan gas dengan harapan supaya kita dalam menstabilkan dan meningkatkan pengeluaran serta meningkatkan juga sektor-sektor bukan minyak dan gas yang lain di mana kita berharap dapat dimajukan lanjut.”

    Sementara itu, Hajah Farida dalam panel perbincangan itu menyatakan industri tenaga terus memberikan sumbangan yang kritikal kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN masa kini dan masa hadapan.

    Industri itu terus menyediakan pekerjaan, memacu pertumbuhan ekonomi dan membantu dalam membangunkan infrastruktur. Industri tenaga juga menyediakan tenaga mampu dimiliki dan bersih kepada penduduk di rantau ASEAN khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

    Di Brunei LNG, tambahnya, mereka terus menjadi enjin pertumbuhan bagi Brunei di mana pada 2022, Brunei LNG menyumbangkan $1.3 bilion kepada ekonomi negara dan mereka juga komited menyediakan pekerjaan berkualiti kepada bakat-bakat tempatan Brunei.

    Pada 2022, sebagai respons kepada isu mobiliti sumber global berkaitan COVID, Hajah Farida menerangkan bahawa mereka telah berjaya untuk melancarkan program EmployAbility dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran dan memberikan kemahiran
    baharu semula kepada pekerja-pekerja Brunei.

    Usaha itu adalah dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan seperti Manpower Planning and Employment Council (MPEC) dan Manpower Industry Steering Committee (MISC) serta empat rakan kongsi perniagaan utama iaitu Adinin Works and Engineering, Tendrill International, Zainal Daud serta Exceltech Solutions.

    Beliau menerangkan bahawa mereka menaja latihan dalam pelbagai kemahiran yang diperlukan oleh industri termasuk pengimpalan, scaffolding dan blasting.

    Pada masa yang sama, EmployAbility juga membantu rakan-rakan kongsi perniagaan mereka untuk memenuhi sasaran pembangunan perniagaan tempatan mereka, mengurangkan pengangguran serta membina tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dan mampan untuk memastikan sebuah perniagaan yang berdaya tahan serta stabil untuk Brunei LNG dan Brunei. Manakala itu, Dayang Nik Hafimi menekankan lagi bahawa Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang mempunyai kaitan dengan ekonomi global dan juga hubungan perdagangan seperti Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), adalah amat penting bagi komuniti ekonomi Brunei untuk memahami cabaran serta trend global dan bagaimana ia memberi kesan kepada perniagaan kita.

    Terdahulu dalam panel perbincangan itu, Eduardo Pedrosa mengetengahkan mengenai bagaimana cabaran-cabaran global telah memberikan kesan kepada rantau ini seperti inflasi, isu-isu rantaian bekalan dan turun naik mata wang.

    Dalam pembentangnya itu, Eduardo memberikan beberapa kesimpulan iaitu kita masih lagi berada dalam tempoh ketidakpastian dan kebimbangan yang tinggi, berlakunya pelbagai krisis yang menggabungkan kesan antara satu sama lain serta peranan penting atau kritikal platform serantau dan global dalam memulihkan kepercayaan dan menangani krisis dengan memberikan penekanan kepada potensi bagi kemampanan dan digital sebagai pemacu pertumbuhan yang baharu.

    Persidangan Perniagaan Kebangsaan 2023 yang membawa tema, Di luar pemulihan: Membina sebuah Masa Hadapan Digital Mampan, disertai oleh lebih 300 orang peserta yang berpeluang untuk mendengar pendapat dan perkongsian daripada tokoh-tokoh perniagaan dan kerajaan kanan serta juga pakar-pakar luar negara.

    Persidangan itu bermatlamat untuk meneroka bagaimana sektor awam dan swasta dapat bekerjasama untuk memajukan sebuah ekonomi digital mampan dan berusaha ke arah mencapai Wawasan 2035.

    Persidangan turut memberikan peluang kepada para peserta mendapatkan pandangan mendalam mengenai persekitaran perniagaan bagi 2023, yang akan membantu mereka untuk mempersiapkan dan merancang serta juga menubuhkan rangkaian hubungan dengan para pembentang dan peserta persidangan yang lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...