Friday, November 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kereta pertama buatan Poland era Soviet kini dipamer di muzium

    OTREBUSY, 7 NOV – Kereta pertama buatan Poland pada era Soviet selepas Perang Dunia Kedua dipamerkan pada Jumaat berhampiran Warsaw selepas dijejaki di Finland selama beberapa dekad dan diperoleh melalui rundingan yang berlangsung selama beberapa tahun.

    Model 1951 Warszawa M-20 yang ikonik itu memiliki nombor siri 000001, merupakan kenderaan pertama yang meninggalkan kilang FSO Passenger Car di Warsaw pada 6 November tahun tersebut, genap 73 tahun lalu.

    Ia merupakan simbol warisan Poland ketika masih di bawah pengaruh Kesatuan Soviet selepas perang.

    “Kami amat berbangga kerana kini termasuk dalam kalangan individu di dunia yang berjaya mendapatkan kembali kenderaan pertama yang dikeluarkan di negara sendiri,” kata pengasas bersama muzium persendirian di Otrebusy, Zbigniew Mikiciuk.

    Kereta berkenaan pada asalnya dihadiahkan kepada marsyal tentera Soviet, Konstantin Rokossovsky, yang berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan Poland selepas perang bagi memperkukuhkan pengaruh Moscow di Poland. Akhirnya, kereta itu ditemui dalam simpanan keluarga pemandu rali Finland, Rauno Aaltonen, walaupun sejarah penuhnya tidak diketahui, jelas Mikiciuk.

    Menurutnya, perundingan untuk mendapatkan semula kenderaan bersejarah ini mengambil masa lebih dua tahun bersama pemilik asal dari Finland.

    Warna asal kereta ini telah dicat semula kepada warna coklat yang popular pada tahun 1970an dan menunjukkan tanda-tanda penggunaan yang ketara, yang dikekalkan pihak muzium bagi mengekalkan keasliannya. Namun, ia masih ‘kukuh’ dan ‘mempesona’ walaupun usianya yang lanjut, ujar Mikiciuk. – AP

    Kereta tersebut kini dipamerkan kepada umum di sebuah muzium persendirian di Otrebusy, tengah Poland, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda