Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kubur berusia puluhan tahun ditemui di Afghanistan

    KABUL, 13 FEB – Sebuah kubur besar yang mengandungi kira-kira 100 mayat dipercayai sejak era kerajaan yang disokong Soviet Afghanistan telah ditemui di wilayah Khost timur negara itu, kata pegawai tempatan, kelmarin.

    Kubur itu ditemui Sabtu lalu semasa pembinaan empangan kecil di kawasan Sarbani di tengah Khost, kata Datuk Bandar, Bismillah Bilal.

    ‘Menurut maklumat awal, mayat-mayat ini dikebumikan di sini selepas dibunuh pada 1358’ dalam kalendar Afghanistan, bersamaan dengan April 1979 hingga Mac 1980, katanya kepada AFP.

    ‘Kira-kira 100 mayat ditemui’ di dalam kubur itu, tambah Bilal, sambil menyatakan beberapa mayat memakai pakaian wanita dan semuanya kelihatan seperti orang awam.

    Penduduk tempatan berkata mayat itu adalah milik mangsa keganasan yang menyusuli rampasan kuasa Komunis yang disokong Soviet pada 1978 di Afghanistan.

    Penduduk Afghanistan dan pekerja perbandaran menyusun rangka manusia yang ditemui dari kubur di kawasan Sarbani di wilayah Khost pada 12 Februari. – AFP

    “Pada tahun 1358, orang-orang ini dibawa ke sini dengan cara yang kejam oleh pihak berkuasa Komunis tanpa perbicaraan,” kata Salam Sharifi, yang bapanya hilang semasa di bawah kerajaan Komunis, mayatnya tidak pernah ditemui.

    “Mereka mati syahid dan kami adalah keturunan mereka. Ini adalah kekejaman yang tidak akan dilupakan dalam sejarah,” kata Sharifi kepada AFP.

    Sebuah jawatankuasa telah dilantik untuk memindahkan rangka, di mana penduduk membantu pekerja majlis perbandaran mengeluarkan rangka dari tapak, menimbun tulang kering ke dalam beg yang melapisi kubur yang digali kelmarin.

    “Tiada siapa yang tahu siapa mereka,” kata penduduk Mandair Mangal.

    “Mereka semua tertanam di dalam tanah dan kami sedang mengeluarkan tulang-tulangnya dan menyusunnya.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...