Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Kereta rentung selepas aksi kejar-mengejar

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan PPDB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Satu insiden kejar-mengejar berakhir dengan kebakaran kereta suspek di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) baru-baru ini.

    Dalam kejadian pada 3 Jun itu, seorang lelaki warganegara tempatan berumur 32 tahun dan tidak bekerja telah ditahan dan berdepan dua tuduhan kesalahan iaitu lari dan gagal berhenti semasa ditahan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Menurut PPDB dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, keanggotaan detektif dan peronda Balai Polis Bangar telah membuat operasi pemantauan di kawasan Bangar pada awal malam hari kejadian.

    Semasa operasi itu, sebuah kereta salon menghala ke kawasan Labu didapati dalam keadaan mencurigakan dan anggota peronda bertugas segera dikerah untuk membuat sekatan jalan raya mengejut di kawasan berdekatan Brunei Bridge Authority (BBA).

    Apabila kenderaan yang mencurigakan itu menghampiri kawasan sekatan, pemandu kenderaan (suspek) tidak memberhentikan kenderaan sebaliknya mengambil tindakan memecut lari menghala memasuki Jambatan SHOAS.

    Aksi kejar mengejar lalu berlaku kemudiannya berjaya ditahan di kawasan KM 19 bersama pemandunya. Semasa menjalankan pemeriksaan, percikan api tiba-tiba berlaku dan kepulan asap keluar daripada bahagian bawah enjin kenderaan suspek dan mengakibatkan kebakaran.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) segera dIhubungi bagi memberikan bantuan. Setelah api kebakaran berhasil dipadamkan, pemeriksaan mendapati sayap ayam mentah disimpan di kawasan kerusi belakang penumpang dan bonet belakang yang mana jumlahnya belum dapat dipastikan dan diketahui kerana sudah terbakar.

    Turut terlibat bagi tindakan dan siasatan lanjut ialah Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).

    Kenyataan menekankan, PPDB sentiasa berusaha dan bertindak lebih agresif dalam pembanterasan dan pengekangan penyeludupan barangan tegahan di negara ini dengan mempelbagaikan skop rondaan dan kawalan di kawasan-kawasan yang mempunyai potensi menjadi jalan tikus kepada kegiatan penyeludupan ini.

    Kereta suspek yang rentung selepas aksi kejar-mengejar dengan pihak polis di Jambatan SHOAS.
    Anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran kereta suspek yang terbabit dalam aksi kejar-mengejar dengan pihak polis di Jambatan SHOAS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...