Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JAN – Dua buah kereta mengalami kerosakan setelah ditimpa sepohon pokok jati yang tumbang di Kampung Kiulap, pagi kelmarin.
Pemilik kedua-dua kereta walau bagaimanapun selamat dan tidak mendapat sebarang kecederaan, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Enam orang anggota dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan yang diketuai oleh ABK 22 Mohd Noor Erawan bin Haji Metusin telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang berdekatan dengan sebuah sekolah swasta.
Menurut JBP, apabila anggota tiba di tempat panggilan, mereka mendapati sepohon pokok kayu jati berukuran kira-kira 60 meter dengan garis pusat berukuran 50 sentimeter telah tumbang di tepi jalan raya lalu terkena kawat elektrik serta dua buah kereta iaitu jenis sedan dan SUV yang dalam keadaan parkir.
Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak untuk memotong pokok menggunakan gergaji rantai dan mengalihkan pokok berkenaan.
JBP menyarankan kepada orang ramai bahawa jika berlaku sebarang insiden, mereka boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan untuk memberikan maklumat yang tepat.