Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JAN – Sebuah kereta jenis sedan ranap terbakar dalam kejadian di kawasan berdekatan Pelabuhan Muara pada awal pagi 30 Disember lalu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, menyatakan bahawa lapan orang anggota dari Balai Bomba Muara yang diketuai oleh Pemangku DSO Kamis bin Haji Salim, dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah kereta telah terbakar keseluruhannya. Anggota bomba segera bertindak memadamkan kebakaran dengan api dapat dipadamkan dalam masa 2 minit.
Dalam kejadian berkenaan, tidak ada kecederaan dan kemalangan berlaku dengan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
JPB menyarankan orang ramai untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya, mengamalkan sikap bertolak-ansur sesama pengguna jalan raya lain serta sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai penyelenggaraan kenderaan, bengkel kenderaan serta syarikat stesen pemeriksaan yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), boleh memuat turun buku Understanding Your Vehicle melalui pautan http:///www.mtic.gov.bn/vehicle/Home.aspx.
JBP turut menyatakan jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba, Kursus Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
