Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Sebuah kereta terlibat dalam kebakaran pada kejadian yang berlaku di Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS), petang kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, seramai 20 orang anggota berserta empat buah jentera dari Balai Bomba Mentiri dan
Bangar diketuai oleh ASO Azim bin Tuah dan ASO Haji Yussof bin Haji Jerudin telah dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.
Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah kereta jenis hatchback telah terbakar keseluruhannya.
Anggota bomba segera bertindak memadamkan kebakaran dengan api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa lima minit.
Kenyataan menyatakan, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan semasa kejadian. Manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan
Hadir di tempat kejadian ialah Pegawai Pemerintah Bomba Daerah Temburong bersama-sama keanggotaan Balai Polis Bangar dan juga pihak Autoriti Jambatan Brunei (BBA) bagi membantu mengawal lalu lintas di tempat kejadian.
Oleh itu, JBP menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.
Bagi mendapatkan maklumat mengenai penyelenggara kenderaan, bengkel-bengkel kenderaan serta syarikat stesen pemeriksaan yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan
Darat (JPD), bolehlah memuat turun buku Understanding Your Vehicle melalui pautan
http:///www.mtic.gov.bn/vehicle/Home.aspx.
