GUILIN, CHINA – Dalam keheningan malam di atas jambatan di selatan China, kira-kira 20 orang penyiar langsung duduk sambil menyanyi dan berbual-bual dalam mikrofon, lingkaran cahaya mereka yang sama diletak dalam jarak beberapa meter.
Penyiar-penyiar berkenaan berkumpul di tempat-tempat seperti ini di bandar Guilin kebanyakan malam dengan harapan dapat menarik perhatian ‘orang yang lalu-lalang’ yang sedang melayari siaran langsung di Douyin, versi TikTok di China, di mana penonton boleh menderma kepada penyiar yang disukai mereka.
“Terlalu banyak penyiar langsung di rumah,” kata Qiao Ya, berusia 27 tahun dan bekerja dari jam 9 malam hingga 3 pagi setiap malam.
“Untuk siaran langsung dalam bangunan atau rumah, awda perlu kelihatan cantik untuk menarik penonton, tetapi saya terlalu sederhana untuk itu,” kata Qiao Ya.
Penyiaran di luar pula mula menjadi popular sekitar setahun yang lalu, dan keadaan cuaca boleh menjadi amat mencabar.





Apabila AFP melawat minggu ini, suhu telah turun hingga hampir sifar darjah Celsius, dengan penyiar-penyiar kelihatan dibalut dengan selimut tebal dan ada di antara mereka membawa pemanas kecil.
“Penonton mungkin berasa bahawa jika kami berada di luar atau hanya sendirian pada waktu malam ia merupakan sesuatu yang sangat mencabar, jadi mereka mungkin melayan kami dengan lebih baik,” kata Qiao, dengan satu-satunya pendapatan datang daripada sumbangan menerusi siarannya.
Penstriman langsung di aplikasi seperti Douyin, yang mengatakan ia mempunyai 600 juta pengguna pada tahun 2020, adalah cara yang popular untuk memperoleh keuntungan di China.
Sesetengahnya – seperti ‘Raja Lipstik’ Li Jiaqi – telah menjadi selebriti, memperoleh jutaan dolar dalam promosi dan bayaran iklan menerusi platform tersebut.
Tetapi untuk mereka yang berada di jambatan, pendapatan mereka adalah jauh lebih rendah.
Pada hari yang baik, Qiao boleh memperoleh sehingga 600 yuan (AS$87) untuk penstriman selama lapan jam. Pada hari yang kurang baik, pendapatannya mungkin hanya 10 yuan (AS$1.50).
Seperti kebanyakan penghibur Douyin, Qiao telah menandatangani kontrak dengan agensi bakat penyiar langsung, yang mengambil 10 peratus daripada pendapatannya sebagai ganti sewa peralatan dan pengurusan kemunculannya di media sosial.
Douyin mengambil 50 peratus lagi, meninggalkan penyiar seperti Qiao hanya dengan 40 peratus daripada apa yang mereka peroleh.
Syarikat induk Douyin, ByteDance, yang juga memiliki TikTok, melaporkan pendapatan sebanyak AS$18.3 bilion pada suku pertama tahun 2022.
Kerja sampingan
Kebanyakan penyiar yang berada di atas jambatan adalah wanita muda, dengan salah seorang daripada segelintir lelaki kelihatan memakai pakaian berbulu katak.
Bagi pelukis tatu bulu kening, Zhang Xiaoxiao, siaran langsung ini merupakan sumber pendapatan tambahan.
Katanya pandemik COVID telah memberi kesan yang besar terhadap pekerjaannya, dengan salun kecantikan terjejas akibat sekatan kesihatan.
“Tekanan adalah amat tinggi dan perniagaan merosot… Jika bukan kerana ini, saya tidak fikir saya akan melakukan penyiaran secara langsung,” jelas Zhang, 36 tahun, sambil bersiap sedia untuk bekerja sehingga 3 pagi.
“Saya berasa seronok menyanyi dan menari, jadi saya fikir saya akan menjadikannya sebagai pekerjaan sampingan, dapat melakukan sesuatu yang saya suka,” katanya.
Pada Oktober lalu, Douyin mengeluarkan amaran tentang gangguan awam yang disebabkan oleh siaran langsung di luar, walaupun ia kebanyakannya tidak diendahkan selepas tindakan keras awal.
Zhang berkata ada kalanya orang yang berjalan melintas akan memberikan reaksi marah.
“Ada yang melihat kami dengan diskriminasi. Mereka bertanya ‘Kenapa kamu tidak mencari pekerjaan yang normal?’ ” katanya.
“Jadi kami memilih tempat yang jauh dari penduduk, supaya tidak mengganggu orang, dan tempat yang selamat,” katanya.
Agensi-agensi penstriman akan menghantar lelaki yang bertindak sebagai pembantu dan pengawal peribadi – dengan beberapa penyiar memberitahu AFP bahawa mereka sekali-skala terpaksa memindahkan orang yang mabuk atau menyekat penonton dalam talian yang tidak senonoh.
Meskipun risiko yang dihadapi, sumbangan besar mendorong penyiar langsung seperti Qiao sering kembali.
“Satu malam jam 2:20 pagi, ada seorang lelaki melihat siaran langsung saya di tepi jalan dan berasa amat terharu,” kata Qiao.
Lelaki itu memberikan sumbangan berjumlah 3,000 yuan (AS$435).
“Saya berasa sungguh gembira sehingga saya pulang awal malam itu,” ujar Qiao.
“Penstriman secara langsung sebenarnya amat mudah, ia seperti berkawan.” – AFP

