Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kerjasama China, Jepun, Korea Selatan perlu kembali ke landasan betul

    BUSAN, 27 NOV – Menteri Luar China, Wang Yi berkata di sebalik situasi semasa yang sedang mengalami perubahan drastik dan pemulihan ekonomi dunia yang perlahan, China, Jepun dan Korea Selatan perlu memainkan peranan lebih proaktif bagi menggalakkan pembangunan serantau dan global.

    Wang yang juga Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China berkata demikian dalam Mesyuarat Menteri Luar China, Jepun dan Korea Selatan ke-10 yang dihadiri bersama Menteri Luar Korea Selatan, Park Jin dan Menteri Luar Jepun Yoko Kamikawa di Busan, pada kelmarin.

    Beliau berkata proses perkembangan kerjasama China, Jepun dan Korea Selatan membuktikan, kerjasama tiga hala mempunyai asas yang kukuh, banyak permintaan serta potensi dan prospek yang besar.

    “China akan terus bekerjasama dengan Korea Selatan dan Jepun untuk membawa kerjasama tiga hala kembali ke landasan yang tepat, mengekalkan perkembangan yang sihat, stabil dan mampan dan memberi sumbangan baharu kepada keamanan dan kemakmuran serantau dan dunia,” kata Wang.

    Wang berkata ketiga-tiga negara perlu berpegang kepada prinsip saling menguntungkan dan mewujudkan situasi sama menang selain menyambung semula rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas China, Jepun dan Korea Selatan secepat mungkin.

    Sementara itu, beliau berkata ketiga-tiga negara juga perlu mengekalkan trend integrasi ekonomi serantau, menambah baik landskap perdagangan bebas serantau pada pelbagai saluran dan peringkat selain menyumbang kepada usaha memperjuangkan matlamat bersama iaitu membentuk Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik.

    “Ketiga-tiga negara dicadangkan memperincikan inovasi dalam sektor sains dan teknologi, mengintensifkan kerjasama dalam bidang teknologi canggih seperti data raya, rantaian blok dan kecerdasan buatan dan bersama-sama mengekalkan kestabilan, kelancaran, pengoptimuman dan penaiktarafan rantaian pengeluaran dan bekalan bagi meningkatkan daya tahan rangkaian pengeluaran serantau.

    “Selain itu, ketiga-tiga negara juga perlu meningkatkan pertukaran dan saling belajar, memperluas skala pertukaran dalam sektor sosiobudaya dan menambah pertukaran keanggotaan bagi memupuk persahabatan dan persefahaman dalam kalangan rakyat khususnya dalam golongan belia ketiga-tiga negara.

    “Ketiga-tiga negara juga disyorkan memacu pembangunan yang akomodatif, meningkatkan pertukaran dan kerjasama dalam usaha menangani masalah penuaan penduduk dan isu perubahan iklim serta meneroka kerjasama dalam bidang baharu,” kata Wang. 

    Wang turut mencadangkan ketiga-tiga negara berpegang kepada prinsip menggalakkan pembangunan bersama, terus melaksanakan lebih banyak projek kerjasama “China-Jepun-Korea Selatan + X” dengan negara dan wilayah jiran berdasarkan prinsip sukarela, kesaksamaan, keterbukaan, sama menang, ketelusan dan mampan untuk menggalakkan pembangunan bersama yang lestari di dalam dan luar rantau ini.

    Sementara itu, Park Jin dan Yoko Kamikawa pula memberi penghargaan terhadap kemajuan yang dicapai dalam kerjasama China-Jepun-Korea Selatan dengan menyifatkan ketiga-tiga negara ini sebagai jiran yang tidak dapat dipisahkan dan kerjasama tiga hala amat penting dan berpotensi besar.

    Mereka berpendapat, ketiga-tiga negara boleh menjalankan kerjasama substantif dalam bidang ekonomi, perdagangan, sains, teknologi dan transformasi digital, pertukaran dalam bidang sosiobudaya, perlindungan alam sekitar dan isu penuaan penduduk bagi mengembangkan kepentingan bersama.

    Dalam perkembangan lain,  China, Jepun dan Korea Selatan juga bersetuju untuk mewujudkan syarat bagi mesyuarat pemimpin ketiga-tiga pihak dan mempergiatkan kerja persiapan yang terbabit. – Bernama

    Menteri Luar China Wang Yi (kanan),Menteri Luar Korea Selatan, Park Jin (tengah) dan Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa (kiri) bergambar sebelum mesyuarat menteri luar tiga hala di Busan, Korea Selatan, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...