Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kerjasama majukan rangkaian pos ASEAN

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Perkhidmatan pos hendaklah tangkas mengikut trend semasa dan cabaran serta responsif terhadap keperluan pelanggan.

    Faktor asas untuk masa depan yang selamat dan berkaitan dalam keperluan perkhidmatan pos adalah amanah, berterusan dan menjaga kepercayaan terhadap pelanggan.

    Perkara itu ditekankan oleh Setiausaha tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dalam ucapannya selaku tetamu kehormat pada perasmian Mesyuarat Perniagaan Pos ASEAN (APBM) ke-29 yang berlangsung di salah sebuah hotel di Gadong, hari ini.

    Beliau turut menyatakan, operator perkhidmatan pos bagi Negara Brunei Darussalam adalah antara pendorong utama untuk mereka memulakan perjalanan transformatif untuk sektor perkhidmatan pos.

    “Dengan penggubalan Perintah Perkhidmatan Pos 2023 baru-baru ini, fungsi pengawalseliaan sektor perkhidmatan pos kini berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI),” kongsinya.

    Ir Haji Mohammad Nazri bergambar ramai bersama wakil-wakil ASEAN pada majlis yang diadakan di salah sebuah hotel di Gadong, kelmarin. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara jemputan yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Mengulas mengenai mesyuarat selama dua hari itu, beliau berkata, ia merupakan satu peristiwa penting dalam memupuk kerjasama yang lebih kukuh dan memajukan rangkaian pos ASEAN.

    Selama hampir tiga dekad, ujarnya, mesyuarat berkenaan telah membawa kesan yang positif mengenai perkhidmatan pos di seluruh rantau ini. Mereka telah berkhidmat dan akan terus menjadi pemangkin untuk pertukaran amalan terbaik, kemajuan teknologi dan strategi operasi, yang menghasilkan rangkaian pos yang lebih cekap dan boleh disesuaikan.

    Melalui kerjasama ini, mesyuarat memainkan peranan penting dalam menyesuaikan perkhidmatan pos untuk memenuhi permintaan landskap digital yang sentiasa berkembang.

    Mereka telah membawa kepada perkhidmatan pengenalan produk baharu yang antara lain termasuk ASEANPack yang memacu lebih banyak produk e-dagang di rantau ini.

    Usaha kolektif ini bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan tetapi juga telah memupuk amalan mampan dalam sektor pos, katanya.

    Majlis terdahulu menyaksikan ucapan daripada Pengerusi APBM, Adawiyah binti Jaafar dan Pemangku Ketua Pos Agong, Jabatan Perkhidmatan Pos Brunei, Dr Rosdi bin Haji Abdul Aziz.

    APBM mula diadakan pada 1992 dan dianggotai oleh 10 pengendali perkhidmatan pos dari negara-negara anggota ASEAN. Objektifnya adalah pertemuan antara ketua-ketua pentadbiran pos ASEAN.

    Ia merupakan platform para pengendali perkhidmatan pos dari negara-negara anggota ASEAN akan dapat bertukar-tukar pandangan dan berkongsi amalan terbaik bagi memajukan perniagaan pos.

    Selain itu, ini merupakan antara langkah terbaik bagi memperbaiki dan membangunkan lagi industri pos dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...