Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama semua pihak penting

    BANGKOK, 29 OGOS – Dalam usaha menuju Komuniti ASEAN yang mapan, sokongan, kerjasama dan perkongsian dalam kalangan semua pihak termasuk badan perundangan di ASEAN amat diperlukan dalam usaha mencapai Wawasan ASEAN Komuniti 2025.

    Sehubungan itu, tema Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) tahun ini, Advancing Parliamentary Partnership for Sustainable Community adalah bersesuai-an dengan tema sidang kemuncak ASEAN dan bertepatan dengan masanya negara-negara ASEAN mencapai Wawasan ASEAN Komuniti 2025.

    Perkara itu ditekankan dalam perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Perhimpunan Agung AIPA ke-40 yang bermula 25 sehingga 30 Ogos di Hotel Shang Ri-La, Bangkok, Thailand.

    Menurut kenyataan yang diterima di sini, Baginda bertitah bahawa dalam menanai visi Komuniti ASEAN 2025 yang membangun dan berkembang ke luar ASEAN, AIPA hendaklah terus berkembang lebih konstruktif dalam penglibatan yang lebih efektif dan mening-katkan lagi kerjasama antara kerajaan masing-masing bukan sahaja dalam lingkaran ASEAN malahan di luar ASEAN.

    Baginda turut mengulangi perutusan Baginda dalam sidang kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok tahun ini di mana pemimpin ASEAN dan AIPA berpeluang membincangkan mengenai kerja-kerja ASEAN di semua peringkat dan cara untuk meningkatkan kerjasama antara ASEAN dan AIPA, dengan ASEAN sangat menghargai dialog peringkat tinggi dan perkongsian strategik dengan AIPA.

    Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara bersama ketua-ketua delegasi Parlimen AIPA bergambar ramai pada Perhimpunan Agung AIPA ke-40 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

    Dalam perutusan itu juga, Baginda menyedari bahawa agenda Perhimpunan Agung AIPA ke-40 tahun ini terus menyentuh mengenai isu-isu yang memperkukuhkan perkembangan masa lalu AIPA yang ditekankan oleh Negara Brunei Darussalam yang terus mendapat sokongan negara ini.

    Baginda turut bertitah melahirkan harapan AIPA akan menjadi komponen penting dalam rancangan dan usaha ASEAN mencapai Komuniti ASEAN yang mampan.

    Selain Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, delegasi Brunei ke perhimpunan itu turut disertai oleh Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar.

    Perhimpunan Agung AIPA dibuka rasmi oleh Perdana Menteri Thailand, TYT Prayut Chan-o-cha pada 26 Ogos dan dihadiri sama oleh Presiden National Assembly of Thailand yang juga Presiden AIPA, TYT Chuan Leekpai yang dalam ucapannya menekankan AIPA adalah platform bagi mempromosi kerjasama antara ahli Parlimen ASEAN selama 42 tahun serta 12 parlimen pemerhati dari seluruh dunia, sesuatu yang luar biasa bagi rantau luas dan pelbagai seperti ASEAN, di bawah satu sepanduk sebagai bukti aspirasi bersama.

    Beliau turut menekankan agar negara ASEAN terus berwaspada terhadap gelombang perubahan seperti kebangkitan ekstremisme, ancaman iklim, bahaya penghijrahan dan rasuah selain cabaran-cabaran lain.

    Pada perhimpunan itu, Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara bersama speaker-speaker negara ahli AIPA membincangkan agenda-agenda mesyuarat di Peringkat Persidangan Komiti, resolusi-resolusi serta perkara berbangkit antaranya isu berkaitan eksploitasi dan keganasan terhadap kanak-kanak dan perubahan iklim.

    Sebanyak 32 agenda diketengahkan pada perhimpunan agung ini di bawah komiti WAIPA, Ekonomi, Sosial dan juga Organisasi.

    Pada sidang pleno pertama, speaker-speaker negara ahli AIPA dijemput berucap di mana Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara menekankan mengenai usaha negara-negara ASEAN mengejar Komuniti ASEAN dalam mendukung kesejahteraan rakyat dan memastikan keharmonian dikecapi oleh semua pihak serta mempromosikan kesinambungan dalam semua dimensi.

    Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara menyatakan bahawa AIPA sentiasa menghadapi cabaran baharu, namun adalah penting mengenali dan menghormati negara-negara anggota AIPA untuk membangunkan kerjasama tanpa gangguan, perundingan dan konsensus.

    Dalam pemerhatian perkongsian strategik yang semakin meningkat antara AIPA dan ASEAN selama ini, Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara menyatakan ianya telah menunjukkan komitmen dan penglibatan negara-negara anggota AIPA dalam merealisasikan wawasan ASEAN dan pada akhirnya memastikan rakyat, baik sekarang dan masa depan, dapat terus menikmati kedamaian, kestabilan dan kemakmuran yang mampan. Pada majlis itu, AIPA turut diwakili pemimpin parlimen Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam dan Kemboja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda