Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kerjasama terus berkembang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Hubungan kerjasama dua hala Vietnam dan Negara
    Brunei Darussalam terus ber-kembang terutamanya dalam kerjasama pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, urusan asing, keselamatan, pertaha-nan, tenaga, budaya, pendidikan, pertanian dan pertukaran pegawai.

    “Vietnam dan Negara Brunei Darussalam mula menubuhkan hubungan diplomatik pada 29 Februari 1992. Sepanjang tempoh hampir 30 tahun itu, pelbagai perkembangan telah dicapai terutama kerjasama dalam menangani isu-isu serantau dan antarabangsa serta diperkukuhkan lagi dengan kerjasama memorandum pertahanan yang ditandatangani pada November 2005.”

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Atase Pertahanan, Kolonel Kanan Nguyen Tien Son ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya selaku wakil peribadi Duta Besar Vietnam pada Majlis Resepsi Hari Ulang Tahun Penubuhan Tentera Rakyat Vietnam ke-75 tahun di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong malam hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Juga hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Do Anh dan isteri.

    Kolonel Kanan Nguyen Tien Son dalam ucapannya semasa majlis tersebut seterusnya berharap kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara akan terus menjadi tonggak penting dalam kerjasama komprehensif Vietnam-Brunei, khususnya pada masa akan datang apabila Vietnam dan Brunei masing-masing mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2020 dan 2021 serta menyumbang hasil yang substantif untuk memperingati ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun 2022.

    Selain itu, ujarnya, kedua-dua negara juga terus berusaha untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang untuk menyediakan rangka kerja undang-undang dan untuk mencapai kerjasama yang lebih besar.

    Terdahulu, majlis yang diadakan bagi meraikan ulang tahun penubuhan Tentera Rakyat Vietnam itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua buah negara dan diselajurkan dengan sesi memotong kek oleh tetamu kehormat dan duta besar Vietnam.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan isteri ketika menghadiri Majlis Resepsi Hari Ulang Tahun Penubuhan Tentera Rakyat Vietnam ke-75.
    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan TYT Do Anh serta isteri masing-masing dan Kolonel Kanan Nguyen Tien Son memotong kek ulang tahun.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda