Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kerjasama tingkat kemahiran pembelajaran

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Muara Maritime Services (MMS), Progresif Sdn Bhd (Progresif) dan SMARTER Brunei telah melakar kejayaan kerjasama penting bagi pelaksanaan sambungan Internet yang dipertingkatkan demi manfaat pelajar dan guru di SMARTER Brunei.

    Majlis penyerahan hasil kerjasama berkenaan telah diadakan hari ini yang dihadiri oleh Pengarah Urusan Komersial MMS, Haji Mohamed Zainol Bahrin bin Haji Mohd Ja’afar; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar; dan Naib Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER Brunei, Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah bersama para pengurusan daripada pihak berkepentingan masing-masing.

    MMS telah bekerjasama dengan Progresif dalam menyokong inisiatif Adopt a School melalui Fasa 2 Kempen Donate Data Progresif.

    Perkongsian strategik itu bertujuan untuk menyokong SMARTER Brunei, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berdedikasi untuk membantu individu autisme, menumpukan pada peningkatan infrastruktur digital dan keupayaan ketersambungan.

    Perkongsian berkenaan menunjukkan tanggungjawab kolektif MMS dan Progresif terhadap masyarakat. Kedua-dua syarikat berdedikasi untuk menggunakan sumber dan kepakaran mereka bagi memberikan impak positif dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat inklusif digital.

    Haji Mohamed Zainol Bahrin, Hajah Nurul Haniah dan Sharifah Adila Surya bergambar ramai bersama pegawai daripada pihak berkepentingan masing-masing pada majlis penyerahan yang diadakan kelmarin. – GAMBAR SERAHAN PROGRESIF
    GAMBAR SERAHAN PROGRESIF
    Hajah Nurul Haniah bergambar bersama salah seorang pelajar SMARTER Brunei. – GAMBAR SERAHAN PROGRESIF

    MMS telah menaja perkhidmatan Wi-Fi Connectivity selama setahun yang disediakan oleh Progresif kepada SMARTER Brunei. Penajaan berkenaan memberikan manfaat khusus kepada Pusat SMARTER EDGE yang terletak di Kampung Mata-Mata dan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pembelajaran kanak-kanak yang menghadiri pusat tersebut.

    Menyedari bahawa kanak-kanak sering berkembang maju sebagai pelajar visual, inisiatif itu mengakui bahawa peningkatan dan penerokaan digital secara relatifnya penting bagi pelajar, untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka dan menyelaraskan aktiviti mereka di sekolah.

    Hajah Nurul Haniah berkata, Kempen Donate Data berdiri sebagai asas dedikasi mereka untuk melengkapkan komuniti pembelajaran digital dengan sumber dalam talian yang penting, terutamanya sambungan Wi-Fi, bagi menyokong pendidikan berkualiti sejajar dengan visi Wawasan Brunei 2035.

    Jelasnya lagi, mengambil komitmen ini selangkah lebih jauh, Progresif memperkenalkan Adopt a School pada 2021, menjemput syarikat terkemuka, seperti MMS, untuk menaja sekolah dan menyumbang kepada peningkatan sistem pendidikan tempatan.

    Kempen Adopt a School ialah inisiatif yang tertumpu kepada penajaan sambungan Internet, yang difasilitasi oleh pihak berkepentingan di negara ini. Pemilihan sekolah telah ditetapkan dan disenaraikan oleh Kementerian Pendidikan, memperkemaskan proses untuk pihak berkepentingan memberikan sumbangan bermakna kepada peningkatan sumber Internet dalam pendidikan.

    Sementara itu, kempen Adopt a School Fasa 1 Kempen Donate Data telah dilancarkan pada 2021, dipromosikan oleh Kementerian Pendidikan, di mana objektif teras kempen adalah untuk menyokong pembelajaran dalam talian dan gaya hidup digital yang dipertingkatkan bagi pelajar dan guru di seluruh negara.

    Konsep dalam inisiatif Fasa 1 adalah sumbangan orang ramai melalui SMS yang kemudiannya ditukar ke dalam nilai data, ditaja kepada sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...