KOTA KINABALU, 23 OKT – Kertas cadangan mengenai Tribunal Antibuli akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet esok, sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menangani kes buli di sekolah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Reformasi Institusi dan Undang-undang), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata selepas Kabinet bersetuju dengan rangka dasar berkenaan, langkah seterusnya ialah membentangkan rang undang-undang yang kini hampir siap.
“Terlebih dahulu, kita perlu membentangkan dasar umum melalui sesi libat urus awam, dengan bantuan beberapa kementerian untuk menilai maklum balas dan pandangan diterima.
“Sebaik sahaja Kabinet meluluskan dasar itu, kita akan berhubung dengan beberapa Ahli Parlimen untuk meneruskan perbincangan dan mendapatkan pandangan mereka. Ini merupakan satu bentuk libat urus awam secara tidak langsung,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urusan mengenai Tribunal Antibuli di sini hari ini.
Azalina berkata cadangan akta yang dicadangkan itu akan mewujudkan sebuah tribunal yang mempunyai kuasa separa kehakiman untuk mengendalikan kes-kes buli melalui proses sivil bagi memastikan penyelesaian dapat dicapai dengan lebih cepat dan berkesan.
“Kita ingin jelaskan bahawa tribunal ini mempunyai kuasa separa kehakiman. Matlamatnya ialah untuk memastikan sistem institusi berfungsi secara bebas dan undang-undang ini tidak akan mengganggu mekanisme tatatertib sedia ada di pelbagai institusi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tribunal berkenaan hanya akan mengendalikan kes-kes sivil, manakala kes buli yang melibatkan unsur jenayah akan terus berada di bawah bidang kuasa polis dan mahkamah jenayah.
Sebagai contoh, beliau berkata satu kes sivil berkaitan buli sebelum ini mengambil masa hampir sembilan tahun untuk diselesaikan melalui mahkamah, namun di bawah sistem tribunal, kes seumpama itu boleh diselesaikan dalam tempoh 60 hingga 90 hari sama seperti Tribunal Gangguan Seksual di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Terdahulu dalam ucapannya, Azalina berkata pendekatan mewujudkan tribunal itu adalah yang terbaik untuk mangsa dan pelaku (pembuli) kerana proses tribunal lebih pantas dan memberi ruang kepada usaha pemulihan bagi memberi peluang kedua. – Bernama


