TAWAU, 28 NOV – Pakar patologi forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini terdapat kemungkinan lebih daripada seorang individu menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang ditemukan mati pada Mac lepas.
Saksi kelima pendakwaan, Dr Dzureena Abdul Multalib, 39, berkata berdasarkan tahap keparahan kecederaan terutama kesan lebam perubahan warna mungkin berlaku dalam tempoh hampir sama iaitu antara beberapa minit hingga beberapa jam sebelum kematian.
“Ia mungkin dilakukan oleh dua, tiga, 10 atau lebih individu,” katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh pada perbicaraan kes bunuh pelajar itu di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol hari ini.
Tiga belas pelajar berusia antara 16 dan 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu antara 9 malam pada 21 Mac dan 7:38 pagi pada 22 Mac lalu.
Kepada soalan peguam itu berhubung kecederaan pada skrotum dan muka mangsa, Dr Dzureena berkata ia disebabkan oleh trauma tumpul pada bahagian kemaluan serta muka seperti tendangan, tumbukan, atau hentaman dengan objek tumpul, atau gabungan tindakan-tindakan itu.
Peguam Vivian Thien pula bertanya sama ada mangsa boleh diselamatkan jika dibawa menerima rawatan pada 4 pagi iaitu dalam tempoh 3 atau 4 jam selepas mengalami kecederaan.
Saksi itu berkata Mohamad Nazmie Aizzat mungkin boleh diselamatkan jika dibawa ke hospital serta-merta dan menerima rawatan agresif termasuk resusitasi. – Bernama