LONDON, 28 JULAI – United Kingdom (UK) mencatatkan penurunan kes COVID-19 selama tujuh hari berturut-turut, sekali gus membingungkan ramai pegawai dan pakar.
Ini kerana sebelum ini mereka memberi amaran pandemik akan bertambah buruk selepas UK memutuskan untuk melonggarkan sebahagian besar sekatan bermula 19 Julai lalu.
Namun, Perdana Menteri UK, Boris Johnson menggesa orang ramai supaya terus berwaspada bagi membendung penularan koronavirus terutama varian Delta yang merebak lebih pantas.
Kadar jangkitan yang dicatatkan di seluruh UK berkurangan selama tujuh hari berturut-turut dengan 23,511 kes baharu diumumkan semalam berbanding 46,558 pada minggu sebelumnya iaitu pengurangan hampir 50 peratus.
Sebelum ini, lonjakan jangkitan baharu dilaporkan di England tetapi mulai turun pada 19 Julai meskipun penguatkuasaan pemakaian penutup mulut dan hidung ditarik balik dan penjarakan sosial di tempat awam dilonggarkan.
Keadaan itu membingungkan kerajaan dan saintis yang sebelum itu memberi amaran kes akan mencecah 100,000 sehari dalam tempoh beberapa minggu akan datang susulan sekatan itu dilonggarkan.
Meskipun keadaan yang berlaku adalah sebaliknya selepas bermula cuti sekolah musim panas di England dan Wales, menteri mengingatkan keadaan jangka panjang masih belum dapat dipastikan.
Walaupun jumlah kes harian menurun, semalam data rasmi juga menunjukkan 131 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 28 hari ujian positif, iaitu jumlah kematian harian tertinggi sejak Mac. – AFP
