Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes COVID, ILI menurun

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Dalam masa satu minggu kebelakangan, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam menunjukkan penurunan yang mana kadar purata kes COVID-19 ialah 255 kes sehari, berbanding dengan kadar pada minggu sebelumnya iaitu 332 kes sehari.

    “Selain itu, sebanyak 32,354 keputusan ujian ART telah dimuat naik ke aplikasi Bru-Health dalam masa satu minggu di mana 5.3 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato lagi, satu kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala satu kes dalam kategori 4 memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    “Sehingga kelmarin, 26 Disember, kadar liputan vaksinasi COVID-19 di negara ini kekal di tahap yang tinggi dengan 79 peratus daripada penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 11.5 peratus telah mendapatkan dos keempat.

    “Hari ini, sebanyak 240 kes baharu telah dilaporkan iaitu kesemuanya hasil ujian ART dan sebanyak 46 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu,” kongsinya lagi.

    Pada masa sama, Yang Berhormat Dato juga memaklumkan trend kes influenza dan jangkitan serupa influenza (ILI) terus menunjukkan penurunan dan minggu lalu telah kembali ke paras normal.

    Oleh yang demikian, statistik itu tidak lagi akan dikongsikan dalam Sidang Media COVID-19 selepas minggu ini. Walau bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan langkah berwaspada. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas serta mereka yang mempunyai masalah-masalah kesihatan dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan influenza setiap tahun.

    Di kesempatan yang sama, beliau juga memaklumkan pengiraan langkah BN on the Move dalam aplikasi BruHealth yang ketika ini hampir mencecah 19 bilion langkah.

    Justeru itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk menggunakan aplikasi BruHealth masing-masing bagi membolehkan aplikasi berkenaan mengemas kini kiraan langkah dan seterusnya mencapai matlamat 20 bilion langkah pada penghujung tahun ini di mana pengiraan langkah ini juga boleh dikemas kini walaupun semasa berada di luar negara.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin semasa sidang media berkenaan yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda