Tuesday, March 18, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes jangkitan COVID stabil

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes jangkitan COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam adalah stabil pada kadar kira-kira 1,370 kes setiap hari.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, sebanyak 63,125 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam tempoh itu di mana 15.1 peratus daripadanya adalah keputusan ART yang positif.

    Manakala jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 terus berada di tahap yang rendah.

    “Pada hari ini, tiga kes berada dalam kategori 5 yakni memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala tiga kes berada di dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” jelas Yang Berhormat Dato semasa Sidang Media Normal Baharu COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, seperti-mana dalam masa minggu-minggu sebelum ini, lebih 99 peratus daripada kes-kes yang dikesan dalam masa seminggu kebelakangan telah dikategorikan di dalam kategori 1 atau 2 dan tidak memerlukan rawatan di hospital. Beliau seterusnya mengongsikan mengenai kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darussalam sehingga 3 Julai. Katanya, sebanyak 73.3 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin manakala 2.9 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.

    “Sebanyak 75.7 peratus daripada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah mendapatkan dos kedua vaksin,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Manakala 50.3 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah mendapatkan dos ketiga vaksin.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya mengingatkan orang ramai untuk memuat naik keputusan ART, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth untuk membantu Kementerian Kesihatan memantau situasi jangkitan.

    Di hujung kenyataannya Yang Berhormat Dato berdoa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara dari segala bencana dan wabak penyakit serta berada dalam perlindungan Allah SWT jua.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda