Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes jangkitan HIV membimbangkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Kes HIV pertama yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam adalah pada Ogos 1986 dan sehingga kini, secara keseluruhan sebanyak 278 kes jangkitan HIV telah dikesan dalam kalangan warganegara dan penduduk tetap.

    Daripada jumlah berkenaan, kematian yang berkaitan dengan HIV dan AIDS sejak 1986 ialah sebanyak 59 kematian. Di samping itu, jumlah mereka yang hidup dengan HIV
    (PLHIV) ialah seramai 219 orang dengan jumlah kes terbanyak yang dilaporkan sebanyak 41 kes pada 2018.

    Manakala itu, sejak 1995, Negara Brunei Darussalam telah merekodkan empat kes yang melibatkan jangkitan daripada ibu ke anak (MTCT) iaitu pada 2001, 2011, 2016 dan 2018.

    Statistik itu didedahkan oleh Ketua Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Dr Justin Wong semasa perbincangan dalam forum bertajuk ‘Implikasi HIV di Tempat Kerja’ bersempena Hari AIDS Sedunia 2019 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada forum berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

    Dr Justin Wong memberikan penerangan semasa forum yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Forum dihadiri oleh kira-kira 200 orang peserta yang terdiri daripada pihak pengurusan dan penyeliaan di sektor swasta dan awam, pelajar-pelajar dalam bidang kesihatan, perdagangan dan pengurusan serta wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan dari Majlis AIDS Brunei Darussalam.

    Dr Justin Wong juga menyatakan bahawa sebahagian besar kes jangkitan yang dilaporkan iaitu lebih 90 peratus adalah dalam kalangan kaum lelaki dan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah kes jangkitan juga menunjukkan peningkatan iaitu 28 kes pada 2015, 37 kes pada 2016, 31 kes pada 2017, 41 kes pada 2018 dan bagi 2019, sehingga 13 November sebanyak 31 kes dilaporkan.

    Perkara yang juga membimbangkan, mereka yang dilaporkan dijangkiti HIV adalah dalam kalangan golongan muda termasuk dalam lingkungan usia 20 hingga 29 tahun dan ia memberikan implikasi di mana golongan dalam kumpulan usia berkenaan mereka yang akan berkhidmat atau bertugas selama 20 hingga 30 tahun.

    Menyentuh mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi dalam menangani epidemik HIV di negara ini, beliau menyatakan bahawa jangkitan seksual telah meningkat dan peningkatan itu menunjukkan bahawa terdapat kewujudan tingkah laku seksual yang berisiko dalam
    masyarakat.

    Dalam hubungan itu, lebih banyak penyelidikan diperlukan terhadap dinamik sosial dan tinglah laku dalam golongan berisiko tinggi serta kumpulan-kumpulan terdedah yang lain.

    Forum juga mengetengahkan ahli-ahli panel yang terdiri daripada Ketua Bahagian Kesihatan Cara Kerja, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Dr Alice Lai; Penolong Pesuruhjaya Buruh, Jabatan Buruh, Awang Rozan Justin Teo bin Haji Azlan dan Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Dr Hajah Rosmonaliza binti Haji Awang Asli dengan forum dikendalikan oleh Pegawai Perhubungan Media dan Komunikasi Luar, TelBru, Dayang Siti Hajar binti Mahathir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda