Friday, January 17, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesan ‘hotspot’ COVID-19 antara ciri baharu

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Aplikasi maklumat kesihatan mengenai pandemik COVID-19 telah ditambah nilai dengan beberapa ciri-ciri baharu di dalamnya, antaranya mampu mengesan kawasan titik panas (hotspot) COVID-19 di negara ini bagi membantu orang ramai mengelak kawasan tersebut.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengongsikan pembaharuan dalam aplikasi itu pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurutnya, ciri-ciri aplikasi di laman sesawang www.healthinfo.gov.bn itu termasuklah ‘Self Assessment Tool’ yang sudah pun mencapai jumlah 27,000 orang yang membuat penilaian sendiri. Manakala ciri-ciri lain ialah memantau kedudukan COVID-19 di dalam negara dan secara global.

    Namun bermula esok (2 April) beberapa ciri-ciri baharu akan dimasukkan ke dalam aplikasi itu antaranya Pengesahan SMS yang bertujuan menjaga keselamatan mereka yang menggunakan aplikasi berkenaan; ‘Direct Reporting Tool’ bagi melapor keadaan mereka kepada Kementerian Kesihatan.

    Selain itu, juga terdapat ‘Health Education Tool and FAQs’ agar orang ramai dapat memahami lebih lanjut mengenai dengan COVID-19 dan juga soalan-soalan yang kerap dipersoalkan (FAQs) bagi memudahkan mereka mengetahui jawapannya tanpa menelefon talian 148.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua) ketika sidang media mengenai situasi terkini COVID-19 di negara ini.

    Satu lagi ciri baru ialah ‘Government Press Statements’ bagi mengongsikan polisi-polisi baru yang hampir setiap hari dikeluarkan oleh pihak kerajaan agar memudahkan orang ramai membuat rujukan mereka.

    Yang Berhormat Dato turut menekankan ciri terakhir pada aplikasi itu ialah ‘COVID-19 Activity Traces (Hotspots) bagi mengetahui kawasan titik panas jangkitan berdasarkan maklumat pengesanan kontak dengan tarikh-tarikh tertentu dipaparkan agar orang ramai dapat mengetahui dan menjauhkan diri mereka dari tempat berkenaan.

    Menurutnya, ia adalah satu cara bagi membantu Kementerian Kesihatan mengurangkan kes jangkitan COVID-19.

    Bagi mereka yang memerlukan perhatian perubatan, beliau juga mengongsi bahawa orang ramai juga dapat mengetahui lokasi pusat-pusat perubatan seperti pusat-pusat ‘flu’ dan ‘swabbing’, hospital-hospital awam, pusat-pusat kesihatan, dan pusat-pusat pengasingan antarabangsa.

    Dalam pada itu, mengenai persoalan situasi RB, Yang Berhormat menjelaskan bahawa syarikat penerbangan di seluruh dunia juga berhadapan dengan impak COVID-19 sama seperti RB.

    Antara yang boleh dipertimbangkan oleh pihak pengurusan dan kakitangan adalah bekerjasama dan bertolak ansur dalam keadaan sukar ini dan apabila keadaan bertambah baik selepas COVID-19, semua masih ada pekerjaan dan kembali berkhidmat dengan sebaiknya.

    Manakala bagi soalan mengenai syarikat PKS yang terjejas dan menggaji ramai pekerja asing, Yang Berhormat menekankan bahawa pekerja warga tempatan adalah diutamakan dan bergantung pada majikan untuk menentukan nasib pekerja asing mereka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda