KUALA LUMPUR – Masalah lutut sememang biasa menimpa warga emas selain mereka yang mempunyai komorbiditi yang meningkatkan risiko masalah itu seperti osteoartritis atau penyakit sendi merosot.
Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Penggantian Sendi Pusat Perubatan Sunway, Sunway City, Dr Suhail Suresh berkata kesedaran mengenai masa yang sesuai untuk menjalani pemeriksaan lutut masih rendah dalam kalangan orang awam, justeru beliau berharap lebih ramai yang peka akan keadaan lutut mereka.
“Pesakit yang telah mengalami simptom ringan, seperti kesakitan yang berlarutan untuk beberapa hari, bunyi jelas daripada sendi lutut setiap kali mereka bergerak, kurang keupayaan untuk menaiki dan menuruni tangga serta berjalan lebih lambat daripada kelajuan biasa, dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi memeriksa lutut mereka dan melakukan imbasan sinar-X,” katanya kepada Bernama dalam temu ramah eksklusif baru-baru ini.
Beliau berkata mereka yang menghidap masalah lutut boleh memilih untuk menjalani pembedahan penggantian sendi lutut atau pembedahan penggantian sendi lutut separa, bergantung pada tahap keseriusan keadaan mereka.
“Lutut terdiri daripada bahagian luar, bahagian dalam dan bahagian depan (juga dikenali sebagai tempurung lutut).
Dalam pembedahan penggantian sendi lutut biasa, kesemua tiga bahagian lutut ini diganti dan dipasang implan logam.
Ganti lutut
“Sementara itu dalam pembedahan penggantian sendi lutut separa, hanya satu bahagian lutut diganti.
“Kadar pemulihan untuk seseorang pesakit yang menjalani pembedahan sebegitu lebih cepat daripada penggantian sendi lutut biasa,” katanya.
Dr Suhail berkata, bagaimanapun, kedua-dua jenis pembedahan itu hanya untuk golongan berusia 50 tahun dan ke atas, dan hanya satu daripada 10 individu memenuhi kriteria untuk pembedahan penggantian sendi lutut separa.
Beliau berkata ini kerana pesakit biasanya lewat berjumpa pakar, menunggu sehingga sendi lutut sudah rosak dan sebelum itu tidak tahu mereka boleh menjalani pemeriksaan walaupun hanya mengalami simptom ringan.
“Sebaliknya, beberapa keadaan menentukan sama ada seseorang tidak boleh menjalani pembedahan penggantian separa, seperti jika lutut senget dengan sudut melebihi 10 darjah.
“Sebab lain termasuk apabila seseorang hanya boleh membengkok lutut mereka hingga 60 darjah dan tidak melebihi 90 darjah, selain menghidap keadaan yang telah melarat seperti radang sendi,” katanya.
Teknologi robot
Dr Suhail memaklumkan Pusat Perubatan Sunway, Sunway City telah merawat 550 pesakit penggantian sendi lutut menggunakan teknologi robotik, serta merupakan hospital pertama di Asia Tenggara menjalankan pembedahan penggantian lutut separa dengan sistem lutut ROSA, yakni pada Mei tahun ini.
“Sebelum ini, kami menggunakan pelbagai peralatan pembedahan untuk menentukan berapa banyak tulang lutut yang perlu dipotong, untuk membentuk tulang menggunakan implan logam dan membuang semua tulang rawan yang rosak.
“Dengan ROSA, kami dapat meringkaskan lagi proses pembedahan. Kini kami melakukan imbasan sinar-X ketika konsultasi bagi menentu ukur saiz implan yang betul untuk digunakan.
“Apa yang sebelum ini adalah sebahagian proses perancangan kini telah menjadi perancangan dan pelaksanaan,” katanya.
Dalam aspek pemulihan dan rehabilitasi, Dr Suhail berkata pesakit penggantian lutut separa sepatutnya mampu berjalan sehari selepas pembedahan dan seterusnya dikehendaki menjalani rawatan susulan bersamanya kira-kira sebulan setengah, termasuk fisioterapi.
Beliau menambah pesakit boleh pulang ke rumah keesokan harinya atau dua hari kemudian, susulan risiko pascapembedahan yang rendah berbanding pembedahan penggantian biasa iaitu pesakit dikehendaki berada di hospital selama tiga hingga empat hari.
Ketahanan implan
Berhubung penyelidikan dan pembangunan pembedahan penggantian sendi lutut, Dr Suhail berkata kebanyakan kajian memfokuskan pada jangka hayat implan.
Beliau berkata jika pembedahan dilaksanakan dengan baik, iaitu kedudukan implan betul, tepat dan penjajaran dalam sifar hingga maksimum tiga darjah lencongan, implan tersebut akan berupaya mengekalkan fungsi lutut dalam 15 hingga 20 tahun.
“Dengan ROSA, implan mampu bertahan hingga 30 tahun. Inilah sebab mengapa pakar bedah penggantian sendi lutut mesti mempunyai latihan, pengalaman dan kepakaran yang mencukupi dalam melakukan pembedahan seperti ini,” katanya.
Mengenai inisiatif terkini untuk meningkatkan kesedaran terhadap pembedahan penggantian sendi lutut separa, Dr Suhail berkata beliau dan rakan sejawat yang lain sentiasa berkomunikasi dengan pengamal perubatan am (GP) dan mereka akan terus mendidik pesakit serta anggota keluarga terlibat tentang jenis-jenis prosedur sedia ada.
“Kami juga menganjurkan jerayawara atau kempen menerusi Yayasan Artritis Malaysia, Persatuan Ortopedik Malaysia dan Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia, antara badan bukan kerajaan (NGO) (yang terlibat) dan kami akan meneruskan usaha mendidik orang awam,” katanya. – Bernama