Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Kesediaan institusi TVET adaptasi IR4.0

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) telah dan akan terus memberikan kesan kepada bagaimana kita hidup, belajar dan bekerja dengan kajian mengenai kesediaan institusi-institusi TVET bagi IR4.0 di Asia Tenggara amat bertepatan.

    Kajian itu diharap akan menyediakan maklumat dan data yang diperlukan bagi membantu institusi latihan dan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) untuk merangka pelan tindakan bagi meningkatkan lagi ketersediaan mereka menghadapi IR4.0 ke peringkat yang lebih tinggi.

    “Walaupun masih sukar untuk meramalkan dengan tepat tahap gangguan IR4.0 terhadap industri dan pekerjaan di Asia Tenggara, penyelidikan baru-baru ini mengenal pasti, kekurangan pekerja berkemahiran sebagai hambatan dalam pembangunan ekonomi masa depan negara anggota ASEAN dan keupayaan mereka untuk menggunakan potensi IR4.0 bagi pertumbuhan yang mampan.”

    Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh menyatakan perkara itu ketika berucap pada Penutup Bengkel dan Program Latihan Serantau, Ketersediaan Institusi-institusi TVET bagi IR4.0 di Asia Tenggara, yang berlangsung di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong, kelmarin.

    TVET telah dikenal pasti sebagai komponen kritikal ekosistem pendidikan oleh banyak negara untuk merapatkan jurang kemahiran dan mengurangkan pengangguran, ulasnya lagi, di mana tidak menghairankan bagi TVET untuk berada di kedudukan tinggi dalam agenda politik negara-negara anggota ASEAN dan SEAMEO.

    Terdahulu dalam ucapannya, Dr Chin Wei Keh menyatakan pelaksanaan projek penyelidikan itu adalah amat bertepatan di mana ia bermatlamat untuk menilai ketersediaan institusi-institusi TVET bagi IR4.0 di rantau ini serta untuk mendapatkan cadangan dan maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan utama berhubungan pembangunan masa hadapan TVET di negara-negara Asia Tenggara.

    Menyentuh mengenai projek penyelidikan tersebut, beliau menyatakan perasaan teruja dengan pasukan penyelidik yang mempertimbangkan untuk mengguna pakai dan menyesuaikan rangka kerja konseptual daripada Smart Industry Readiness Index (SIRI )yang dihasilkan oleh Singapore Development Board (EDB) dengan kerjasama sebuah rangkaian syarikat-syarikat teknologi utama, firma konsultasi dan industri serta pakar-pakar akademik.

    “Memandangkan SIRI berdasarkan kepada industri pembuatan, maka rangka kerja dan peralatan akan diubahsuai selaras dengan keperluan konteks pendidikan dan dinamakan semula sebagai Smart Education Readiness Index (SERI.)”

    Awang Alias menyampaikan kata alu-aluannya semasa bengkel berkenaan.
    Dr Chin Wei Keh menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta-peserta bengkel.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...