WASHINGTON, 26 APRIL – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa anggota Majlis Keselamatan dan negara anggota PBB yang lain serta organisasi serantau yang berpengaruh supaya menekan pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Sudan meredakan ketegangan dan kembali ke meja rundingan dengan segera .
Berucap pada Majlis Keselamatan PBB pada Selasa, Guterres berkata pihak-pihak dalam konflik mesti menghormati gencatan senjata 72 jam yang diuruskan oleh Amerika Syarikat dan bersatu dalam menamatkan permusuhan.
Beliau berkata pemimpin Sudan mempunyai tanggungjawab untuk mengutamakan kepentingan rakyat.
“Konflik ini tidak akan dan tidak boleh diselesaikan di medan perang dengan kematian rakyat Sudan.
“Rakyat Sudan telah menyatakan hasrat mereka dengan jelas. Mereka mahukan keamanan dan pemulihan pemerintahan awam melalui peralihan kepada demokrasi,” katanya seperti dilaporkan agensi Anadolu.
Guterres berkata keganasan dan huru-hara 10 hari lepas sangat menyayat hati, sambil menambah kesan daripada “perang berskala penuh yang berpanjangan tidak boleh dibayangkan.”
Menyedari bahawa Sudan bersempadan dengan tujuh negara, yang kesemuanya telah menyaksikan konflik dan pergolakan awam, beliau berkata “ia adalah pintu masuk ke Sahel, di mana ketidakamanan dan ketidakstabilan politik memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah menjadi bencana.” – Bernama
