BISHKEK, Kyrgyzstan, 27 Feb – Seorang pemimpin pembangkang veteran di Kyrgyzstan ditahan atas dakwaan rasuah semalam, mencetuskan bantahan di seluruh negara tatkala ketegangan politik meningkat sebelum pilihan raya presiden pada November.
Jawatankuasa Keselamatan Nasional (GKNB) berkata Omurbek Tekebayev, yang memimpin parti sosialis Ata-Meken, ditahan selepas mendarat di lapangan terbang Bishkek dari Istanbul.
Pemimpin pembangkang itu, pesaing Presiden Almazbek Atambayev, akan ditahan sekurang-kurangnya 48 jam berhubung dengan siasatan dalam rasuah di sebuah syarikat telekom, kata kenyataan.
Penahanan Tekebayev mencetuskan bantahan di seluruh negara Asia Tengah itu, tatkala penyokongnya mengecam tuduhan ke atasnya sebagai ‘satu rekaan.’
Kira-kira seribu orang berkumpul berhampiran ibu pejabat GKNB di Bishkek semalam, menurut seorang wartawan AFP, melaung ‘Kebebasan untuk Tekebayev.’
“Tindakan oleh pihak berkuasa telah membuat orang hilang kesabaran,” beritahu penolong Ata-Meken Kanybek Imanaliev kepada AFP ketika bantahan, menggelar penahanan ketua parti ‘permulaan penindasan’ di Kyrgyzstan.
Menurut Imanaliev, dalam tempoh seminggu, siasatan jenayah telah pun dibuka ‘tanpa sebarang asas perundangan’ ke atas tiga anggota parti. – AFP