RIYADH, 7 OGOS – Firma minyak Saudi, Aramco hari ini mengumumkan keuntungan AS$30.08 bilion bagi suku kedua, penurunan mendadak berbanding tempoh yang sama tahun lalu apabila harga melonjak selepas Rusia menyerang Ukraine.
Penurunan sebanyak 38 peratus tahun ke tahun ‘terutamanya mencerminkan kesan harga minyak mentah yang lebih rendah dan margin penapisan dan bahan kimia yang lemah,’ kata syarikat yang sebahagian besarnya milik kerajaan itu dalam satu kenyataan yang diterbitkan di bursa saham Saudi.
Penurunan itu menyusuli kemerosotan keuntungan bersih sebanyak 19.25 peratus pada suku pertama.
“Keputusan kukuh kami mencermin-kan ketahanan dan keupayaan kami untuk menyesuaikan diri mengikut kitaran pasaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Amin Nasser.
“Kami terus menunjukkan keupayaan jangka panjang kami untuk memenuhi keperluan pelanggan di seluruh dunia dengan tahap kebolehpercayaan yang tinggi,” tambah Nasser sambil mengumumkan pembayaran dividen tambahan.

“Untuk para pemegang saham, kami bercadang untuk memulakan pembayaran dividen yang berasaskan prestasi kami pada suku ketiga,” katanya.
Pengeluaran dari pengeksport minyak mentah terbesar dunia itu susut selepas Riyadh pada April mengumumkan pemotongan 500,000 tong sehari, sebahagian daripada langkah yang diselaraskan dengan kuasa minyak lain untuk mengurangkan bekalan lebih daripada satu juta tong sehari dalam usaha menaikkan harga.
Pada Jun, kementerian tenaga Saudi mengumumkan pemotongan tambahan sebanyak satu juta tong sehari yang berkuat kuasa pada Julai dan telah dilanjutkan hingga September. – AFP