SAN FRANCISCO, 27 FEB – Nvidia mengakhiri tahun fiskalnya dengan mencatatkan pendapatan tertinggi dalam sejarah, berjumlah AS$130.5 bilion, didorong oleh permintaan tinggi terhadap cip kecerdasan buatan (AI) untuk pusat data.
Gergasi teknologi berpangkalan di California itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak AS$22 bilion daripada pendapatan suku keempat yang luar biasa sebanyak AS$39.3 bilion, yang berakhir pada penghujung Januari.
Nvidia berjaya meningkatkan pengeluaran ‘berskala besar’ bagi pemproses Blackwell terbaharu yang direka untuk AI, dengan jualan bernilai berbilion dolar dalam suku pertama selepas pelancarannya, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang.
“AI berkembang dengan pantas ketika AI berasaskan agen dan AI fizikal membuka jalan bagi gelombang inovasi seterusnya yang akan merevolusikan industri utama,” kata Huang dalam satu kenyataan kewangan.

Nvidia meramalkan pendapatan sebanyak AS$43 bilion bagi suku fiskal semasa, melebihi jangkaan penganalisis.
Angka keuntungan itu mengurangkan kebimbangan pelabur terhadap tarif import serta kemunculan mengejut model AI kos rendah DeepSeek dari China yang boleh menjejaskan keuntungan Nvidia.
Saham Nvidia meningkat lebih dua peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran.
“Walaupun pasaran bimbang mengenai model cekap DeepSeek dan cabaran awal pelancaran Blackwell, keputusan Nvidia mengesahkan bahawa syarikat ini masih mendominasi landskap AI, menepis keraguan,” kata penganalisis teknologi Emarketer, Jacob Bourne.
“Pesaing semakin berkembang, tetapi model AI canggih memerlukan sumber pengkomputeran yang maju seperti yang disediakan oleh Nvidia.”
Ledakan AI telah melonjakkan harga saham Nvidia sebelum jualan besar-besaran pada Januari akibat kejayaan mendadak DeepSeek.
DeepSeek dari China baru-baru ini melancarkan chatbot R1 yang dikatakan mampu menandingi kapasiti produk AI utama AS pada kos yang jauh lebih rendah. – AFP