Penyanyi Khai Bahar mengakui berbesar hati apabila terpilih untuk menyanyikan semula lagu tagalog popular berjudul Pano dalam versi Bahasa Melayu.
Khai atau Muhammad Khairul, 29, berkata, kepercayaan yang diberikan untuk menyanyikan lagu ikonik itu adalah satu penghargaan buat dirinya.
Diberi judul Bagaimana, versi Melayu lagu berkenaan mendapat sentuhan penerbit muzik tersohor, Johan John yang mana proses rakamannya dibuat di JK Music Vibe Studio.
“Keindahan lagu Pano terletak pada irama baladanya yang cukup mendayu. Tidak hairanlah lagu berkenaan amat popular sehingga mendapat tontonan lebih 104 juta di YouTube meskipun ia berbahasa Tagalog.
“Ini satu peluang untuk saya galas sebaiknya demi memastikan versi Melayu lagu ini sehebat lagu asal,” katanya. Dalam pada itu, Khai memberitahu bekerjasama dengan Johan buat pertama kali adalah satu pengalaman yang menarik.
Kata Khai, corak kerja Johan yang sangat profesional menjadikan setiap proses lebih mudah dan lancar.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Bayang itu berharap versi nyanyiannya akan diterima peminat dan diterima di setiap platform penstriman muzik digital dan radio. – Agensi