Wednesday, November 27, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khairun Nasrullah menang Best Signature Drink

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT- Peserta dari The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) Brunei, Awang Khairun Nasrullah bin Haji Ismail telah memenangi gelaran Best Signature Drink pada Kejohanan Barista 2024 yang berlangsung di Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Beliau telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$1,500, trofi dan pengisar kopi manual Pietro by Fiorenzato.

    Seramai 10 barista CBTL dari lapan buah negara iaitu Brunei Darussalam, Malaysia, Qatar, Arab Saudi, Kuwait, Mongolia, Vietnam dan Pakistan telah ikut bertanding pada kejohanan yang berlangsung pada 19 September lalu.

    Minuman istimewa yang ditampilkan Awang Khairun Nasrullah bertajuk A Thyme to Celebrate, terdiri daripada thyme, rosemary, sirap Creme Brulee dan espreso dari CBTL World Blend ‘63 Espresso Retail Coffee.

    Para peserta bertanding dalam tiga kategori iaitu espreso, kapucino dan minuman ciptaan sendiri. Para hakim menilai berdasarkan tiga kriteria berdasarkan tekstur minuman, rasa dan visual.

    Pada majlis penyampaian hadiah, Awang Khairun Nasrullah mengenakan pakaian tradisional MIB dengan corak tenunan pada aksen bajunya untuk mewakili budaya MIB Brunei yang direka oleh pereka fesyen tempatan, Face of Fared.

    Ketika ditemui media, Awang Khairun berkata, “Saya sangat bersyukur kerana dapat membawa pulang trofi ini untuk Brunei. Kemenangan ini lebih daripada sekadar gelaran, ia adalah langkah ke depan untuk mempamerkan bakat kami di pentas yang lebih besar dan membuktikan kemampuan Brunei.

    “Saya tidak sabar-sabar untuk menyertai pertandingan akan datang dan berharap dapat membawa lebih banyak pencapaian untuk negara dalam Kejuaraan Barista CBTL,” ujarnya.

    Sementara itu, pelanggan berpeluang menikmati minuman Awang Khairun Nasrullah, A Thyme to Celebrate, pada tarikh yang akan diumumkan di outlet tertentu CBTL. Tarikh akan diumumkan melalui media sosial mereka.

    Awang Khairun Nasrullah bergambar bersama hadiah yang dimenanginya pada Kejohanan Barista 2024 yang berlangsung di Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN CBTL
    GAMBAR SERAHAN CBTL

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda