Saturday, April 26, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khasiat daun pandan sewangi aromanya

    Oleh Nurdiyanah R.

    Sudah menjadi lumrah dalam kalangan masyarakat kita menanam pokok pandan di sekitar halaman rumah sebagai kegunaan dalam masakan dan tak perlu bersusah payah untuk membelinya.

    Pasti tumbuhan semula jadi itu menyimpan kebaikan tersendiri yang bukan hanya semata-mata memiliki aroma wangi malah ia juga menyimpan pelbagai khasiat kepada kesihatan tubuh badan kita jika diolah dengan sebaik-baiknya.

    Pandan merupakan sejenis tanaman yang tumbuh di kawasan tropika di Asia, daunnya memiliki bau harum dan unik yang biasanya digunakan di negara-negara Asia Tenggara untuk menyedapkan masakan.

    Daun pandan turut dikenali juga dengan nama kathey (Arab), chan xiang Ian (mandarin), rampe (Hindi), thazai (Tamil) bai toey hom (Thai) cay com nep (Vietnam), taye (Kemboja) dan takonoki (Jepun). Nama saintifik pandan ialah Pandanus amarylifoliuou di mana herba ini biasanya digunakan sebagai pewarna dan perasa.

    Daun pandan sebagai pewarna dan perasa

    Daun pandan sememangnya digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat Melayu terutama dalam bidang masakan. Daunnya akan diikat atau disimpul dan dimasukkan ke dalam kuah atau makanan yang sedang dimasak.

    Pokok pandan bukan hanya semata-mata memiliki aroma wangi, malah ia juga menyimpan pelbagai khasiat kepada kesihatan tubuh badan kita jika diolah dengan sebaik-baiknya. – Agensi
    Daun pandan memberikan rasa dan aroma tersendiri kepada kuih-muih dan masakan seperti kuih tako.
    Air perahan daun pandan juga dijadikan sebagai perasa, pewangi serta pewarna semula jadi dalam masakan.
    Campuran minyak kelapa dengan pandan boleh dijadikan sebagai bahan sapuan untuk mengurut bahagian tubuh badan yang mengalami sakit.

    Daunnya juga boleh ditumbuk, dikoyak atau direbus untuk mendapatkan rasa dan baunya. Di samping itu, daun pandan boleh dikisar untuk dijadikan sebagai pewarna yang digunakan dalam masakan.

    Air perahan daunnya juga dijadikan sebagai perasa, pewangi serta pewarna semula jadi di dalam kuih-muih seperti kuih seri muka. Helaian daunnya juga digunakan dalam masakan nasi lemak atau nasi putih bagi membangkitkan lagi aroma nasi.

    Selain itu daun pandan juga dapat dijadikan penambah aroma wangi pada pelbagai jenis bubur seperti bubur kacang dan durian. Namun sesetengah masyarakat juga menghasilkan anyaman dari daun pandan untuk dijadikan wadah pembungkus makanan seperti kuih tako.

    Miliki kehebatan untuk kesihatan

    Meskipun umum mengetahui daun pandan berfungsi sebagai pewangi dan perasa masakan semula jadi yang akan memberikan aroma yang menyelerakan, sebenarnya tumbuhan semula jadi ini juga memiliki kehebatannya dari segi pelbagai manfaat terhadap kesihatan tubuh badan kita.

    Pasti kita pernah mengalami kekurangan selera makan, bukan? Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah kurang selera makan ini?

    Oleh itu, salah satu makanan yang berasaskan daun pandan seperti teh pandan mungkin menjadi salah satu penawar alami untuk meningkatkan selera makan kita. Jika awda mengalami masalah sakit gusi atau sakit pada bahagian mulut, cubalah mengunyah daun pandan. Ia dikatakan mampu untuk melegakan masalah ini.

    Apabila kita mengalami kesakitan atau kebengkakan pada otot atau sendi disebabkan terlebih mengkonsumsi makanan yang tinggi kandungan asid urik, maka orang dulu-dulu sering menggunakan daun pandan untuk membantu melegakan penyakit iaitu dengan cara mengambil beberapa keratan tumbuhan wangi ini seterusnya dicuci sehingga bersih dan dipotong atau dihiris.

    Kemudian, masukkan hirisan daun itu ke dalam minyak kelapa yang telah dididihkan sebelumnya yang disimpan dalam bekas dan digaul sehingga sebati. Sebaik sahaja ia sejuk, bahan minyak itu boleh dijadikan sebagai bahan sapuan untuk mengurut bahagian tubuh badan yang mengalami sakit.

    Selain itu, daun pandan juga dikatakan boleh membantu untuk menormalkan tekanan darah. Caranya adalah dengan merebus dua cawan air dengan 10 gram daun pandan. Minum separuh air rebusan berkenaan pada waktu pagi dan selebihnya pada waktu petang.

    Salah satu kebaikan daun pandan adalah ia bersifat antikanser. Ia dikatakan mampu untuk menawarkan kesan toksin dan menghalang perkembangan sel kanser.

    Dikatakan juga dengan meminum dua atau tiga cawan air rebusan daun pandan setiap hari akan membantu mengurangkan masalah kemurungan dan tekanan.

    Daun pandan bukan sekadar pewangi dan perasa masakan semata-mata kerana ia juga mempunyai pelbagai khasiatnya yang tersendiri seperti yang telah disenaraikan.

    Walaupun tahap keberkesanannya belum terbukti sepenuhnya, tetapi tidak salah jika kita mencubanya kerana ia sendiri adalah herba semula jadi, bukan?

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda