Monday, May 20, 2024
24.6 C
Brunei

    -

    Kongsi khasiat haiwan padang pasir dhab

    TAIPING – Mahu berkongsi khasiat yang tinggi yang ada pada haiwan padang pasir dhab, seorang bekas guru agama membuka sebuah ladang ternakan dhab atau nama saintifiknya Uromastyx aegyptia yang pertama di negara ini.

    Azhar Mohamad Shafawi, 52, berkata ladang seluas hampir satu hektar yang terletak di Kamunting di sini itu kini menempatkan 180 ekor dhab termasuk yang dibiakkan dari induk tertua berusia 21 tahun.

    Beliau berkata, idea mewujudkan ladang dhab itu tercetus apabila jumlah ternakan yang diusahakan di kediamannya di Kampung Expo, Kamunting semakin meningkat dan ramai individu berminat datang melihat sendiri haiwan itu. 

    Bapa kepada tiga cahaya mata itu mula berjinak dalam perniagaan dhab ketika menuntut dalam Ijazah Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir sekitar 90an dan mula membawa dua ekor dhab ke Malaysia pada 1994 untuk membiayai kos pengajian.

    Beliau berkata, ketika itu tiada peruntukan undang-undang yang melarang membawa spesis yang halal dimakan umat Islam itu dari negara luar masuk ke Malaysia.

    Antara bahan ramuan yang diimport dari Mesir untuk membuat produk minyak urut dhab oleh Azhar Mohamad Shafawi, 52, di Kawasan Perindustrian, Kamunting. – Bernama
    Pemilik ladang ternakan dhab, Azhar Mohamad Shafawi menunjukkan dhab dewasa yang diternak di Kawasan Perindustrian, Kamunting ketika ditemui Bernama di ladangnya. – Bernama
    Minyak dhab yang telah diproses untuk dijadikan produk minyak urut. – Bernama
    Azhar Mohamad Shafawi menunjukkan kandang anak dhab yang diternak. – Bernama

    “Saya berminat dengan perniagaan dhab ini kerana ia jarang didapati dan merupakan haiwan eksotik. Pada masa itu saya belajar cara penjagaan daripada penduduk di sana dan berniaga secara kecil-kecilan sahaja serta menjual produk pati dhab di pasar awam.

    “Kini sudah 30 tahun saya mengusahakan ternakan ini dengan kebenaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) malah menghasilkan pelbagai produk yang mempunyai Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan sijil halal,” katanya ketika ditemui Bernama di ladangnya di sini.

    Dhab dikelaskan dalam keluarga cicak dan ia boleh didapati di Timur Tengah termasuk Mesir, Libya, Palestin dan lain-lain. Ia sering duduk di kawasan kering dan berbatu.

    Dhab yang membiak secara bertelur, mempunyai kulit bersisik tebal merupakan sejenis haiwan herbivor iaitu memakan sayur-sayuran serta kekacang sebagai sumber protein.

    Bercerita lanjut, Azhar mengambil keputusan berhenti menjadi guru Bahasa Arab pada 2001 kerana mahu fokus dalam ternakan dhab yang memerlukan penjagaan teliti termasuk proses penetasan telur selain dapat memberi pendapatan agak lumayan. 

    Beliau berkata pelbagai faktor perlu diambil perhatian bagi memastikan haiwan itu mampu bertahan di kawasan lembab seperti Taiping, antaranya reka bentuk kandang yang terdedah kepada cahaya matahari dan atap yang telus supaya suhu kekal panas.

    “Walaupun dhab halal dimakan, saya tidak menjual daging dhab untuk dimakan kerana haiwan itu lambat membesar dengan iklim di Malaysia, justeru hanya mengeluarkan ubat dan produk berbentuk kopi, kapsul, minyak urut dan sebagainya daripada pati dhab yang mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan termasuk dapat melancarkan perjalanan darah.

    “Dhab boleh diproses apabila sudah berusia dua tahun, ia akan disembelih dan dilapah dagingnya untuk dimasak dalam minyak bagi menghasilkan produk seperti minyak urut, manakala produk kering seperti kapsul dan serbuk kopi campuran dengan dikeringkan di dalam ketuhar,” katanya.

    Azhar berkata bagi memastikan dhab ternakannya yang dipercayai mampu hidup sehingga 150 tahun diberi makanan yang memerlukan kos agak tinggi seperti sayuran, bunga raya, malberi, tulang sotong dan kacang dal merah.

    Orang ramai yang datang boleh melawat sebanyak 44 kandang yang tersedia di sini secara percuma bermula 9 pagi hingga 4 petang setiap hari dan menyentuh dhab yang terdapat di situ. – Bernama 

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam pilihan raya fasa kelima

    AYODHYA, 20 MEI - Berjuta-juta orang India di 49 kawasan pilihan raya mula membuang undi pada hari ini ketika pilihan raya selama enam minggu...