Tuesday, December 3, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Khatam Al-Quran akhiri majlis tadarus

    Oleh Yusrin Junaidi, Syahmi Hassan, Ak Zaki Kasharan & Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Sempena penghujung Ramadan ini, pelbagai pihak telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sebagai menandakan berakhirnya tadarus yang diadakan sejak awal Ramadan.

    Sehubungan dengan itu, masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara telah mengakhirinya dengan Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran kendalian Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Acara pada malam tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin diikuti dengan tadabbur Al-Quran yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah dan Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Syahiran bin Haji Mohd Sofian.

    Sejurus itu, acara khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan takhtim beramai-ramai yang dipimpin oleh pegawai-pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, ahli jawatankuasa takmir masjid serta pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid dan seterusnya Doa Khatam dibacakan oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama pegawai dan kakitangan di KHEU semasa majlis penutup tadarus bagi masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.
    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua semasa hadir pada Majlis Khatam Al-Quran di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.
    Antara yang hadir pada majlis penutup tadarus di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.
    Antara warga Kementerian Pertahanan dan ABDB yang hadir pada majlis tersebut.
    Antara yang hadir sama pada Majlis Khatam Al-Quran UTB yang berlangsung di Masjid UBD.
    Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam.- Gambar serahan Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Kampung Pandan
    Antara yang hadir pada majlis penutup tadarus di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Awang Emran bin Haji Kunchang.

    Turut hadir pada majlis penutup itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Pengiran Anak Dr Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail.

    Sementara itu, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut mengadakan Penutup Program Jangkauan dan Ihya Ramadan sepanjang bulan suci Ramadan tahun 1444H dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa yang diadakan secara serentak hari ini di ke-semua surau ABDB di keempat-empat daerah termasuk Masjid Pulau Baru-Baru, dengan tumpuan utama di Surau Ad-Difa’, Bolkiah Garison.

    Hadir di Surau Ad-Difa’ bagi majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.

    Majlis tersebut merupakan acara penutup bagi aktiviti-aktiviti yang diadakan oleh Kementerian Pertahanan dan ABDB bagi menyemarakkan bulan Ramadan tahun ini termasuk majlis-majlis sumbangan derma kepada anak yatim, kempen kebersihan di tanah perkuburan orang-orang Islam, ceramah keagamaan dan solat berjemaah.

    Manakala itu, Universiti Teknologi Brunei (UTB) turut mengadakan ceramah agama memperingati Nuzul Al-Quran dan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman. Turut hadir ialah pensyarah, pegawai-pegawai utama, kakitangan dan pelajar universiti.

    Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti oleh bacaan Surah Ad-Dukhan oleh Awang Muhamad Raziq Aiman bin Haji Rosman dengan terjemahan ayat dibacakan oleh Awang Abdul Khaliq bin Saifullizan, ahli EXCO Agama dan Kerohanian Majlis Perwakilan Pelajar UTB.

    Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohammad Nasyith bin Superi, kemudiannya menyampaikan ceramah bertajuk ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian dengan Petunjuk Al-Quran’.

    Majlis diteruskan dengan solat Fardu Zuhur berjemaah, solat Sunat Gerhana Matahari dan diikuti Majlis Khatam Al-Quran bagi meraikan pencapaian lapan peserta yang telah menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.

    Majlis diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dhuha sehingga Surah Al-Masad dipimpin oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan), Profesor Dr Mohamed Hasnain Isa.

    Manakala Ketua Unit Agama UTB, Awang Mohd Fazalley bin Haji Hidup mengetuai bacaan takhtim dan Doa Khatam Al-Quran.

    Majlis kemudiannya ditutup dengan alunan Dikir Marhaban, Doa Selamat dan penyampaian sumbangan derma secara pandu lalu kepada seramai 39 anak yatim yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

    Acara serupa turut diadakan oleh Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Ugama Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail. Majlis dimulakan dengan ceramah yang disampaikan oleh imam masjid berkenaan, Awang Muhammad Hilmi bin Yakop dan disusuli dengan takhtim.

    Majlis khatam turut diadakan di Masjid RPN Kampung Pandan yang dihadiri oleh Penghulu Mukim Kuala Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin sebagai tetamu kehormat.

    Tetamu kehormat memu-lakannya dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dhuha hingga An-Naas oleh Haji Roslan bin Adnan dengan takhtim beramai-ramai.

    Haji Roslan juga mengetuai bacaan Doa Khatam dengan Dikir Marhaban dipimpin oleh anggota Dikir Masjid sebelum diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh imam masjid, Awang Abdul Qayyum bin Haji Aminuddin.

    Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mumong juga menganjurkan khatam Al-Quran di kediaman Pemangku Ketua Kampung Mumong, Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin dan dihadiri oleh anggota MPK.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda