Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-30, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan di ibu negara, hari ini.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof selaku ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.
Bagi majlis tersebut, seramai 30 orang pegawai dan kakitangan Yayasan telah mengkhatamkan bacaan Al-Quran masing-masing.
Majlis dimulakan dengan bacaan takhtim Al-Quran yang dipimpin oleh pegawai Yayasan, Awang Ahmad Rithaudin bin Haji Sabtu.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Khatam dan Doa Selamat oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar sebelum diteruskan lagi dengan majlis berbuka puasa dan sembahyang fardu Maghrib berjemaah.
Juga hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Lembaga Pengarah Yayasan dan Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA), para jemputan, pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.