Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya, kelmarin, telah mengadakan Sesi Muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang dihasratkan untuk berkongsi inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan.
Sesi muzakarah yang berlangsung di Dewan Serba guna, Bangunan KHEDN itu telah dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pemangku timbalan setiausaha tetap serta ketua-ketua jabatan dan bahagian di KHEDN.
Sesi muzakarah itu adalah sebagai platform untuk memberikan peluang kepada ahli-ahli MMN untuk mendengarkan inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan serta perancangan-perancangan strategik kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Selain itu, ia dapat me-ngongsi pandangan, buah fikiran dan apa jua perkara atau isu yang memerlukan perhatian pihak kementerian dan jabatan demi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang lebih berkualiti ke arah kesejahteraan orang awam dan pembangunan negara.
Ahli-ahli MMN juga berpeluang untuk berinteraksi dengan lebih dekat lagi bersama pihak pengurusan atasan kementerian serta ketua-ketua jabatan dan bahagian.