Sunday, November 24, 2024
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    KHEU anjur Malam Munajat ke-159

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Orang-orang yang layak untuk memakmurkan masjid-masjid Allah ialah mereka yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat.

    Selain itu, mereka juga tidak takut melainkan kepada Allah SWT. Dengan adanya sifat-sifat tersebut, diharap mereka menjadi daripada golongan yang mendapat pertunjuk.

    Perkara tersebut antara inti pati tazkirah disampaikan oleh Imam Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (MSSBRPAD), Kampung Manggis Madang, Awang Khaizuran Amali bin Haji Kamsani, bagi menyerikan lagi Malam Munajat kali ke-159, kelmarin anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang turut bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 perasmian masjid berkenaan.

    Acara tersebut turut menjemput Ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, selaku penasihat ahli jawatankuasa takmir (AJKT) masjid berkenaan, dan seterusnya memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari MSSBRPAD, Kampung Manggis Madang.

    Acara diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Guru Ugama Tingkat 2, Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU, Pengiran Haji Noorahma Rizulazmi Mowardy bin Pengiran Abdul Rahman, dari Surau Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB).

    Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Ketua Pemantau Zon 3, Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), KHEU, Awang Muhammad Amin bin Haji Salim, dari MSSBRPAD, Kampung Manggis Madang.

    Selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Zikir Al-Maghfirah Wa Ar-Rahmah beramai-ramai dipimpin oleh tenaga pengajar Institusi Khas Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Bengkurong, JPI, Awang Sanif bin Haji Tarip, dari Surau SASHHB.

    Sementara bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam telah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, JHEM, Awang Nuzli bin Haji Jumat, dari MSSBRPAD, Kampung Manggis Madang.

    Turut mengimarahkan acara tersebut ialah AJKT dan jemaah masjid berkenaan serta dari masjid-masjid termasuk surau dan balai ibadat yang berjumlah 61 buah dari seluruh negara.

    Turut menyertai tenaga pengajar di bawah JPI dan warga kerja KHEU bersama keluarga dan individu yang ikut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa menyertai Program Malam Munajat kali ke-159 secara maya, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda