Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    KHEU arah produk kerepek kentang diasingkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Produk makanan ringan Lay’s berperisa khinzir dan beberapa lagi produk lain keluaran Pepsi Food (China) Ltd, China yang dijual di beberapa buah pasar raya dan kedai di negara ini telah diarahkan untuk diasingkan penjualannya ke seksyen tidak halal.

    Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah dalam kenyataan dikeluarkan di sini, menyatakan mereka menerima aduan orang awam mengenai penjualan produk makanan ringan tersebut secara terbuka.

    Berikutan aduan ini, Baha-gian Kawalan Makanan Halal (BKMH) di bawah Jabatan Hal Ehwal Syariah telah menjalankan penyiasatan dan pemeriksaan ke syarikat pengimport yang membawa masuk produk tersebut.

    Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa produk lain dari syarikat pengeluar yang sama turut dijual dan diedarkan oleh syarikat pengimport berkenaan.

    Oleh itu, arahan penga-singan serta merta telah dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah kepada syarikat pengimport terbabit bagi kesemua produk Pepsi Food (China) Ltd, China dan syarikat tersebut telah memaklumkan kepada pemilik pasar raya-pasar raya dan kedai-kedai di mana produk tersebut diedarkan untuk mengasingkannya.

    Sehubungan dengan itu, KHEU ingin mengingatkan pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport produk di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk import yang akan dijual kepada orang ramai di pasar raya atau kedai masing-masing dengan memastikan produk yang halal tidak bercampur dengan yang tidak halal.

    Ini demi menjaga maslahat masyarakat Islam di negara ini dari terjebak mengambil dan memakan produk yang tidak halal atau diragui kehalalannya.

    Di samping itu, KHEU mengucapkan penghargaan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berhubung perkara ini dan bagi sesiapa yang ingin membuat aduan serta perkongsian maklumat mengenai penjualan produk tidak halal secara terbuka di premis perniagaan bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui BKMH dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat BMKH di setiap daerah.

    Produk makanan ringan Lay’s berperisa khinzir dan beberapa lagi produk lain keluaran Pepsi Food (China) Ltd yang diarahkan untuk diasingkan penjualannya ke seksyen tidak halal.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...