Friday, March 31, 2023
27.2 C
Brunei

-

KHEU terima peruntukan lebih $270 juta

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi Tahun Kewangan 2023/2024 diperuntukkan sebanyak $270,258, 865, yang akan dimanfaatkan untuk melaksanakan program-program keagamaan menurut bidang-bidang yang diterajui oleh kementerian itu.

Pada masa yang sama, memastikan bahawa ia selaras dengan tema belanjawan negara 2023/2024 iaitu ‘Bersatu Membina Masa Depan yang Lebih Makmur’, di mana ia menumpukan kepada tiga keutamaan iaitu memelihara kesejahteraan awam, mendukung pemulihan negara yang inklusif dan berdaya tahan serta pembangunan modal insan yang dinamik, proaktif dan inovatif.

Penerangan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (gambar) ketika membentangkan peruntukan KHEU Tahun Kewangan 2023/2024 pada permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

Beliau menjelaskan lanjut bahawa belanjawan negara yang dibentangkan adalah untuk mendatangkan kebaikan-kebaikan yang memenuhi keperluan-keperluan bagi mencapai kemajuan yang seimbang iaitu keutuhan negara dan kesejahteraan rakyat.

Ia jelas merupakan belanjawan untuk mendukung program-program Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi kepentingan mengembang majukan negara dan kemajuan yang seimbang bertujuan untuk menyejahterakan rakyat.

Yang Berhormat Pehin menerangkan bahawa dalam konteks rakyat dan Negara Brunei Darussalam, ia menepati maksud dan sasaran-sasaran utama lima maqasid syariah iaitu menjaga ugama, menjaga nyawa, menjaga akal yakni intelek, menjaga harta dan menjaga keturunan.

Selaras dengan itu, beliau menyatakan bahawa peruntukan-peruntukan yang disokong untuk KHEU adalah bagi mendukung program-program yang walaupun bersifat khusus keagamaan, namun ia mempunyai impak positif kepada kesejahteraan hidup rakyat dan keselamatan negara.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Otai impi meluncur ombak hingga usia 100

FUJISAWA, JEPUN, 30 MAC – Seorang warga emas membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti meluncur ombak. Seiichi Sano mula meluangkan...
- Advertisment -