KUALA LUMPUR – Beberapa tahun yang lepas, satu impian penulis terlaksana dengan lahirnya portal khidmat sukarela, Do Good Volunteer. Portal khidmat sukarela ini menghubungkan individu seperti anda dan penulis yang ingin membuat kerja sukarela tetapi tidak tahu menahu peluang yang ada, dengan organisasi yang memerlukan bantuan dan sumber.
Mujurlah, ‘talian sambungan” luar biasa ini berjaya dibentuk dengan kerjasama antara pasukan kami di Leaderonomics bersama-sama pasukan dari The Star (akhbar berbahasa Inggeris). Tetapi kenapakah portal ini begitu penting kepada kami di Leaderonomics? Kami percaya khidmat sukarela adalah satu-satunya cara untuk melahirkan transformasi bangsa. Lebih daripada itu, khidmat sukarela adalah “senjata rahsia” yang jarang digunakan oleh individu dan korporasi untuk membina prestasi mereka.
Khidmat sukarela senjata rahsia
Kebanyakan korporasi mengaitkan khidmat sukarela dengan tanggungjawab sosial korporat, dan meletakkan dua fungsi ini di bawah pengurusan Sumber Manusia. Ramai pemimpin perniagaan menganggap khidmat sukarela sebagai aktiviti yang hanya perlu dilakukan sekali-sekala. Bagi bahagian Sumber Manusia pula, fokus mereka adalah pada hal-hal yang dianggap lebih penting seperti memastikan produktivi pekerja, mengekalkan pekerja, dan membangunkan bakat serta kemahiran dan keupayaan baharu.
Jadi, khidmat sukarela diketepikan; sesuatu yang bagus diadakan jika ada masa. Kebanyakan pemimpin gagal memahami bahawa khidmat sukarela membolehkan Sumber Manusia mencapai segala tujuan korporat.
Ia juga adalah saluran bagi perniagaan mencapai kebanyakan matlamat strategiknya. Tambahan pula, ia percuma.

Membanteras kemurungan
Hakikatnya, isu tekanan dan kemurungan adalah paling lazim di tempat kerja. Apakah penawarnya? Tepat sekali, khidmat sukarela! Khidmat sukarela boleh membanteras kemurungan. Apabila kita terlibat dalam aktiviti sukarela, badan kita menghasilkan oksitosin yang berupaya menangani hormon tekanan yang berkait rapat dengan kemurungan, seperti kortison dan andrenalin.
Satu daripada risiko kemurungan ialah keterpinggiran sosial. Khidmat sukarela memberi anda peluang untuk bergaul dengan orang lain dan membentuk sistem sokongan yang teguh yang dapat melindungi anda daripada tekanan dan kemurungan dalam masa-masa yang mencabarkan. “Mereka yang bergaul dengan orang lain akan menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan dianggar akan hidup lebih lama,” jelas Dr Gary.
Hakikatnya, pekerja yang terlibat dalam khidmat sukarela mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi daripada mereka yang tidak. Bersukarela meningkatkan harga diri dan kebahagian hidup. Berbuat baik kepada orang lain dan komuniti memberi nikmat pencapaian dan hala tuju. Ia juga memberi rasa kemegahan dan identiti diri. Apabila anda mempunyai tanggapan diri yang positif, anda akan mempunyai pandangan positif tentang hidup dan menunjukkan prestasi yang lebih baik di tempat kerja.
Khidmat sukarela menajamkan kemahiran
Khidmat sukarela juga membantu anda membangunkan lagi kemahiran dan menggunakannya untuk melanjutkan kerjaya anda. Pemimpin-pemimpin Sumber Manusia sepatutnya mempergunakan khidmat sukarela sebagai peralatan pembangunan kepimpinan yang hebat untuk tenaga kerja organisasi. Dalam kebanyakan kes, terutamanya bagi kalangan orang muda, mereka tidak mempunyai banyak peluang untuk memahirkan kepimpinan mereka. Khidmat sukarela menyediakan peluang untuk berbuat demikian.
Menurut kajian, satu fakta menarik ialah 90 peratus pemimpin korporat yang berjaya pernah terlibat dalam kerja komuniti semasa zaman muda. Penglibatan ini membolehkan mereka menajamkan daya kepimpinan mereka. Namun begitu, kebanyakan pemimpin ini telah lupa akan cara mereka berkembang yang sepatutnya dipergunakan untuk perkembangan tenaga kerja mereka.
Mengapakah organisasi tidak mengaut faedah daripada khidmat sukarela secara besar-besaran. Sebahagian sebabnya ialah persepsi bahawa bersukarela mengambil banyak masa.
Kajian menunjukkan bahawa seseorang boleh hidup lebih lama dan menimba manfaat daripada khidmat sukarela jika dia cuma melabur sekitar 100 jam setahun. Ini bermakna dua hingga tiga jam seminggu. Dengan dua atau tiga jam seminggu, anda boleh menikmati produktiviti yang lebih tinggi, hidup lebih lama dan menikmati harga diri yang lebih tinggi.
Sukarelawan selalunya umpama gam yang menyatukan sesebuah komuniti. Bersukarela memberi peluang kepada anda dan organisasi untuk bergaul dengan komuniti dan menjadikannya tempat yang lebih selamat. Banyak hasil positif yang akan diperoleh sekiranya perniagaan kerap melibatkan tenaga kerja mereka dalam aktiviti sukarela. Kajian juga menunjukkan bahawa satu lagi manfaat yang akan diperoleh mereka yang terlibat dalam aktiviti sukarela, lebih-lebih lagi sekiranya mereka masih belum ada teman hidup, adalah peluang untuk menemui teman.
Hairan sekali kaum wanita meletakkan nilai tinggi pada altruisme ini. Jadi, libatkan diri dalam khidmat sukarela. Ia adalah mudah. Jika anda tidak tahu di mana hendak bermula, log masuk www.dogoodvolunteer.com, dan mulakan kembara anda. – Bernama